Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Bapa saya telah meninggal dunia dan kini saya ingin berkahwin. Saya mempunyai abang seibu sebapa namun terdapat pergaduhan antara adik beradik sehingga ayat "jangan sampai berwalikan hakim" diperkatakan kepada saya.
Abang saya tidak menjalankan tanggungjawab nya kepada saya setelah bapa meninggal dunia - malah ketika melakukan Umrah bersama keluarga (kecuali Bapa) - saya dibiarkan terkontang kanting tanpa penjagaan dia.
Atas kejadian di atas - saya ingin meminta bantuan; bolehkah saya meminta pakcik belah ayah saya untuk mewalikan saya?
Kejadian dia atas banyak melukakan saya dan beliau berlaku kejam terhadap saya kerana tidak menjalankan tanggungjawabnya kepada saya.
Tolong berikan penjelasan.
Jawapan
Menjawab pertanyaan saudari, dalam mazhab Syafi‘i, wali nikah mestilah mengikut tertib. Selagi wali yang lebih hampir (aqrab) ada dan cukup syarat, maka ia tidak boleh berpindah kepada wali yang lebih jauh (ab‘ad). Dalam keadaan bapa dan datuk telah meninggal dunia, maka mengikut tertib susunan wali abang seibu sebapa adalah lebih utama menjadi wali daripada pakcik iaitu adik beradik bapa.
Oleh yang demikian, bapa saudara sebelah bapa tidak boleh menjadi wali selagi abang masih hidup serta sempurna syarat iaitu Islam, baligh, berakal, tidak fasik yang keterlaluan dan tidak enggan menjadi wali tanpa sebab syarie. Ini kerana abang adalah wali aqrab (lebih hampir) berbanding pakcik.
Berkaitan kenyataan saudari bahawa abang tidak melaksanakan tanggungjawab kepada saudari selepas bapa meninggal dunia pula bukanlah suatu hujah yang boleh menyebabkan gugur hak perwalian bagi abang tersebut. Hak wali hanya boleh gugur jika:
Abang enggan menikahkan atau menjadi tanpa sebab syarie (عضل)
Abang hilang kelayakan menjadi wali seperti gila, murtad, hilang akal, dan sebagainya.
Jabatan ini sangat memahami ujian, dugaan dan trauma yang saudari lalui mungkin berat, tetapi persoalan wali adalah berkaitan hak syarak, ini kerana perangai buruk, tidak mengambil berat, atau menyakiti hati oleh wali tidak menggugurkan haknya sebagai wali. Nikah tetap sah walaupun wali tidak rapat secara emosi dan jika beliau berlaku zalim, itu dosa beliau dan ia tidak menjejaskan kesahihan nikah dan hak beliau sebagai wali.
Sekian terima kasih