BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin membuat pertanyaan berkaitan status perkahwinan dan lafaz cerai.

Untuk makluman, saya telah bernikah di Thailand namun perkahwinan tersebut belum didaftarkan di Malaysia. Baru-baru ini, suami saya telah menghantar mesej yang mengandungi kenyataan seperti :
“abg memang akan lepaskan awk”
“Muktamad”

Apabila saya bertanya mengenai niat, suami memaklumkan bahawa beliau memang berniat untuk bercerai, tetapi bukan pada masa lafaz/mesej tersebut dibuat. Apabila berjumpa nanti baru dia berniat untuk berbincang berkenaan cerai

Sehubungan itu, saya ingin mendapatkan pencerahan:

  1. Adakah kenyataan melalui mesej tersebut boleh dianggap sebagai lafaz cerai yang sah?
  2. Bagaimana mahkamah menilai lafaz kinayah melalui WhatsApp?
  3. Apakah prosedur untuk mendapatkan pengesahan lafaz cerai bagi perkahwinan yang dilangsungkan di Thailand tetapi belum didaftarkan di Malaysia?
  4. Adakah saya perlu membuat pengesahan/pendaftaran nikah luar negara terlebih dahulu sebelum memfailkan kes cerai/taklik?

Kerjasama dan penjelasan pihak tuan/puan amat saya hargai.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan:

1. Pesanan whatsapp yang dihantar oleh suami kepada isteri: “abg memang akan lepaskan awk”, “Muktamad”, bukanlah lafaz talak. Ia hanyalah perkhabaran niat atau keinginan suami yang hendak menceraikan isteri pada masa akan datang.

2. Menurut hukum syarak, pesanan melalui whatsapp walaupun sorih atau jelas, seperti pesanan: "aku ceraikan engkau" dianggap sebagai kinayah (kiasan) yang memerlukan niat. Sekiranya suami menghantar pesanan dengan niat ingin menceraikan isteri, maka talak berlaku. Namun, jika suami semasa menghantar pesanan tersebut tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

3. Untuk mendapatkan pengesahan lafaz cerai bagi perkahwinan yang dilangsungkan di Thailand, perkahwinan perlu didaftarkan terlebih dahulu di Malaysia. Pendaftaran pernikahan perlu dilakukan terlebih dahulu di Mahkamah Syariah bagi mengesahkan akad nikah yang dilakukan.

4. Ya, pengesahan/pendaftaran nikah luar negara perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum memfailkan kes cerai/taklik.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 39

message user image