BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya ingin bertanya berkaitan isu penamaan anak tidak sah taraf di Malaysia.

Sekiranya seorang ibu telah memeluk agama Islam, dan kemudian melahirkan anak tanpa pernikahan yang sah, anak tersebut adalah dikategorikan sebagai anak tidak sah taraf dan nasabnya hanya kepada ibu.

Namun, jika semasa pendaftaran kelahiran, nama keluarga/surname bapa telah dimasukkan ke dalam nama anak, adakah:

  1. Dibenarkan dari sudut syarak & undang-undang untuk mengekalkan nama tersebut?

  2. Jika tidak dibenarkan, adakah ibu boleh memohon untuk menukar nama anak dengan membuang keturunan bapa dan menggantikan kepada keturunan ibu?

  3. Apakah prosedur rasmi yang perlu dilakukan (contoh: surat Mahkamah Syariah / Jabatan Mufti / JPN)?

Saya amat menghargai sebarang panduan atau rujukan rasmi

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

1. Dalam kes anak tidak sah taraf iaitu anak luar nikah bagi orang Islam di Malaysia, penggunaan “bin/binti kepada nama bapa biologi” adalah dianggap sebagai menasabkan anak kepada bapa, sedangkan menurut hukum syarak dan amalan pentadbiran semasa, nasab anak tersebut hanya kepada ibu. Ini sebagaimana diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57, bahawa anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

2. Ye puan boleh membuat pertukaran nama bapa dalam dokumen berkaitan. 

3. Prosedur rasmi proses pertukaran nama tersebut buat boleh membuat surat permohonan rasmi ke mana-mana Jabatan Mufti yang berhampiran dengan menyatakan alasan pertukaran nama tersebut. Setelah mendapat surat sokongan dari Jabatan Mufti, puan boleh membuat proses seterusnya di mana-mana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berhampiran. 

Prosedur tepat mungkin boleh berbeza antara cawangan JPN dan juga negeri, oleh yang demikian, sebaiknya puan merujuk terlebih dahulu kepada JPN terdekat dan Jabatan Mufti Negeri terdekat untuk panduan langkah demi langkah berdasarkan situasi puan.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 47

message user image