Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya menjaga ibu saya yang sudah uzur (84 tahun) dan ayah saya (suami ibu) baru sahaja meninggal dunia.
Ibu saya kini sedang dalam iddah. Persolahan saya adalah: ibu saya mengalami masalah nyanyuk dan 'anxiety' yang berpanjangan serta memerlukan perhatian sepanjang masa. Adakah dibolehkan untuk saya membawa ibu saya keluar bersama sekiranya ada urusan yang perlu saya selesaikan. Ini kerana ibu saya sudah uzur dan tidak boleh ditinggalkan berseorangan.
Mohon pencerahan. Sekian, Wassalam
Jawapan
Menjawab persoalan puan, jika urusan itu di waktu siang maka puan boleh membawa ibu bersama. Ini berdasarkan kepada riwayat Mujahid bahawa ramai lelaki yang gugur syahid dalam peperangan Uhud, lalu balu-balu mereka datang bertemu Rasulullah SAW meminta kebenaran untuk tidur di rumah sesama mereka kerana kesunyian pada waktu malam. Baginda SAW pun bersabda:
Maksudnya: Berbicaralah sesama kamu apa yang sepatutnya. Akan tetapi apabila tiba masa kamu ingin tidur (pada waktu malam), maka beredarlah setiap daripada kamu ke rumah masing-masing. (Riwayat al-Baihaqi)
Walau bagaimanapun, jika urusan itu sehingga malam atau berhari-hari, sebaiknya ada anak-anak lain yang menjaga ibu sementara puan menyelesaikan urusan tersebut. Namun sekiranya tiada pilihan lain, maka harus bagi anak membawa ibu bersama-sama.
Sekian, terima kasih.