Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Soalan saya, kalau saya sewa rumah dan bayar bayaran untuk tanah, terdapat tanah di belakang rumah saya dan ada pokok daun kari yang tertanam di situ, mungkin dari penyewa sebelum ni atau dari pemilik rumah sendiri.
Kalau saya guna daun kari itu untuk masak, dia akan jadi haram ke?
Sebab, saya tak tahu pokok kari tu siapa punya dan pokok kari ada di tanah saya yang saya beli dengan duit saya.
Haram ke kalau saya guna daun kari dari pokok itu?
Jawapan
Secara asasnya apabila seseorang menyewa rumah, hak yang diperoleh hanyalah hak manfaat terhadap rumah tersebut dan bukan hak milik penuh ke atas tanah serta segala yang terdapat padanya. Oleh itu pokok yang tumbuh di kawasan tersebut pada asalnya adalah milik tuan rumah melainkan terdapat bukti atau persetujuan yang menunjukkan sebaliknya.
Oleh itu sekiranya terdapat pokok kari di kawasan rumah yang disewa atau pada tanah yang dibeli dan berkemungkinan ia milik pemilik asal, maka sebaiknya perkara ini dirujuk kepada tuan tanah. Jika tiada sebarang larangan daripada pemilik dan pokok tersebut berada dalam kawasan yang digunakan serta tiada diketahui pemilik khusus, maka daun kari itu harus dimanfaatkan.
Sekian, terima kasih