BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..apakah hukum memakai barang kemas perhiasan yg diukir bentuk haiwan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Memakai perhiasan barang kemas berbentuk binatang (makhluk bernyawa) untuk tujuan hiasan adalah haram dalam Islam. Islam melarang penggunaan barang kemas yang mempunyai ukiran, bentuk, atau gambar haiwan kerana perbuatan tersebut menyerupai perbuatan menyembah berhala dan mengagungkan makhluk, serta terdapat hadis yang menegaskan malaikat tidak masuk ke rumah yang mempunyai patung.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Talhah, sabda Nabi SAW:

لَا ‌تَدْخُلُ ‌الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya: Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing dan juga gambar (atau patung). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Surah (صورة) yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah apa-apa sahaja bentuk penyerupaan makhluk yang bernyawa seperti melukis, melakar atau juga mengukir.  Sebab malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada gambaran atau patung kerana lukisan itu sendiri adalah sebuah maksiat yang keji dan ia menyerupai ciptaan Allah SWT serta terdapat ukiran atau patung yang disembah. Oleh itu, larangan mengukir atau melukis makhluk hidup adalah disebabkan unsur-unsur penghormatan seperti diletakkan pada tempat tertentu sama ada sebagai perhiasan atau sembahan. Berbeza pula sekiranya ukiran atau lukisan tersebut mempunyai fungsi dan kegunaan tertentu seperti patung mannequin untuk pameran jualan pakaian dan sebagainya.

Oleh itu, merujuk kepada persoalan puan dapat dinyatakan bahawa memakai perhiasan berbentuk haiwan atau benda hidup untuk tujuan hiasan semata-mata adalah diharamkan. Islam sejak dulu menggalakkan konsep alam, seperti bunga dan tumbuhan dan bukannya haiwan. Dikhuatiri boleh menjadi salah satu objek pemujaan tanpa disedari serta bangga diri.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 24

message user image