Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan,
Saya ingin membeli satu sikat rambut dari satu jenama ini. Tetapi jenama ini ada mengeluarkan produk lain yang menggunakan bulu babi seperti sikat rambut mereka yang lain, tetapi sikat rambut yang saya ingin membeli itu tidak mempunyai bulu babi. Cuma ianya dari jenama yang sama. Jadi soalan saya, boleh kah saya beli sikat rambut dari jenama tersebut?
Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih :)
Jawapan
Bagi menjawab soalan yang diajukan, status sikat tersebut adalah dikira syubhah dan sebaiknya elakkan daripada membelinya agar kesucian diri dan pakaian terpelihara. Hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu'man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu nyata (jelas) dan yang haram itu pun nyata (jelas), dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang syubhah (kesamaran), yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang syubhah, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara syubhah jatuhlah ia ke dalam yang haram. (Riwayat Muslim)
Sekian, terima kasih.