Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan. Saya mempunyai persoalan berkaitan mengambil hak orang lain. Semasa saya berusia 8 tahun, saya pernah melakukan dosa mengambil dan menggunakan wang rakan sekelas saya yang tercicir dijalan untuk membeli makanan. Saya sudah tidak ingat siapa pemilik wang tersebut. Adakah amalan saya tidak diterima oleh kerana perbuatan lampau saya? Apakah yang perlu saya lakukan?
Jawapan
وعليكم السلام رحمة الله وبركاته
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, berkenaan perbuatan mengambil wang rakan ketika berusia 8 tahun, perlu difahami bahawa dalam Islam, seseorang yang belum baligh tidak dipertanggungjawabkan dosa seperti orang dewasa. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib R.A, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Diangkat pena (tidak dicatat dosa) daripada tiga golongan: daripada kanak-kanak sehingga dia baligh, daripada orang tidur sehingga dia bangun, dan daripada orang gila sehingga dia berakal. (Riwayat Abu Dawud).
Hadis ini menjadi dalil bahawa kanak-kanak sebelum baligh tidak dipikul dosa seperti orang dewasa. Maka dari sudut dosa, perbuatan tersebut tidaklah ditanggung sebagaimana kesalahan yang dilakukan setelah mukallaf.
Namun begitu, dalam bab hak manusia, Islam sangat menitikberatkan penyelesaiannya. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang mempunyai kezaliman terhadap saudaranya, sama ada berkaitan maruah atau sesuatu (harta), maka hendaklah dia meminta halal daripadanya pada hari ini. (Riwayat al-Bukhari)
Dalam keadaan saudara tidak lagi mengingati siapa pemilik wang tersebut dan mustahil untuk mencarinya, maka para ulama menyatakan boleh menggantikannya dengan bersedekah sejumlah wang yang sepadan atau lebih, dengan niat pahala itu diberikan kepada pemilik asal. Di samping itu, hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha, menyesal, berazam tidak mengulangi, dan memohon keampunan Allah SWT.
Berkenaan persoalan sama ada amalan saudara tidak diterima kerana kesalahan lampau itu, jawapannya tidak. Tiada dalil yang menyatakan satu kesalahan ketika kecil menyebabkan seluruh amalan selepas itu tidak diterima. Penerimaan amalan bergantung kepada keikhlasan dan ketaatan kepada syariat.
Kesimpulannya, perbuatan itu berlaku ketika belum baligh, maka tidak ditanggung dosa seperti orang dewasa. Bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh, sedekahkan sejumlah wang sebagai ganti dan yakinlah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Semoga Allah menerima segala amalan dan membersihkan hati kita semua.