Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Boleh ke isteri menjual gelang tangan emas yang diberikan sebagai mas kahwin untuk dibelanjakan kepada suami dan anak-anak
Jawapan
Merujuk soalan yang diajukan, isteri boleh menjual gelang tangan emas yang diberikan sebagai mas kahwin untuk dibelanjakan kepada suami dan anak-anak, kerana mas kahwin yang telah diberikan menjadi hak milik penuh isteri. Oleh itu, isteri berhak untuk menyimpan, memakai, menjual atau menghadiahkannya kepada sesiapa sahaja mengikut kehendaknya. Namun begitu, jika isteri menggunakan harta tersebut untuk keperluan suami dan anak-anak, ia dianggap sebagai sumbangan atau sedekah daripada isteri, bukan kewajipan, kerana tanggungjawab menyediakan nafkah keluarga pada asalnya terletak pada suami.
Ini bertepatan dengan dalil pensyari’atan mahar dapat dilihat melalui ayat al-Qur’an di dalam surah al- Nisa' ayat 4 yang menyatakan bahawa mahar/maskahwin adalah hak isteri -:
Maksudnya: Dan berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.
Kesimpulannya, isteri boleh menjual gelang tangan emas yang diberikan sebagai mas kahwin untuk dibelanjakan kepada suami dan anak-anak. Disamping itu, haram hukumnya bagi suami memakan atau menggunakan atau mengambil manfaat daripada mahar isteri jika tanpa kerelaan dan kebenaran isteri, kerana mahar merupakan hak milik isteri yang telah diisytiharkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an. Akan tetapi harus hukumnya bagi suami memakan atau menggunakan atau mengambil manfaat daripada mahar isteri jika dengan kerelaan dan kebenaran isteri.
Sekian, terima kasih.