BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya. Saya keguguran pada 3 bulan, dan yang keluar adalah kantung. 

Saya menyerahkan kantung tersebut kepada pihak hospital, dan mereka ingin menyiasat adalah kantung tersebut adalah penyakit. ( Saya sudah mengalami keguguran berulang)

Tapi saya baru ada baca, yang kantung perlu ditanam. Apabila saya ingin menuntut semula, mereka kata tidak sempat, kerana kantung tersebut telah dihantar ke makmal luar ( saya ditahan di hospital swasta).

 

Adakah saya dikira berdosa kerana tidak menanam kantung tersebut?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام رحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, pertamanya dalam situasi ini puan tidak dikira berdosa kerana kandungan itu gugur pada usia sekitar 3 bulan (lebih kurang 90 hari), iaitu belum mencapai 120 hari seperti yang disebut dalam hadis, iaitu tempoh ditiupkan roh menurut pandangan jumhur ulama. Dalam keadaan tersebut, jika yang keluar hanyalah kantung dan belum jelas berbentuk anggota manusia, maka ia tidak perlu dimandikan atau solatkan. 

Dalam kes yang dinyatakan, kantung tersebut telah diserahkan kepada pihak hospital untuk tujuan pemeriksaan perubatan kerana puan mengalami keguguran berulang. Itu adalah satu ikhtiar yang baik dan dibenarkan oleh syarak. Apabila puan cuba menuntut semula tetapi tidak sempat kerana telah dihantar ke makmal, maka perkara itu di luar kemampuan puan. Islam tidak membebankan seseorang dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukan.

Oleh itu, puan tidak menanggung apa-apa dosa dan. Puan telah bertindak dengan niat yang baik dan dalam keadaan yang wajar. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada puan dan menggantikan dengan zuriat yang lebih baik pada masa akan datang. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 64

message user image