Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, semasa tengah bincang tentang nafkah, suami ada cakap “okay, dia akan bayar semua duit tu, tapi cukup setakat ni je” kira macam lafaz kinayah la kan .. dia cakap semasa kami berbincang dengan mak ayah saya.. bila saya tanya niat dia, dia cakap masa tu dia nak tahu jawapan mak ayah dan kalau nak cerai pun memang nak ikut proses mahkamah.. sebab dia taktau proses macammana.. Takde niat nak cerai time tu. Tapi saya masih ragu2 boleh ke macamtu.. Kiranya dia niat nak cerai nanti la sebab nak tunggu jawapan dari mak ayah saya.. lepastu mak ayah saya suruh jumpa kaunselor dulu.. so dia pun ikut nasihat ayah saya. So perlu ke saya pergi ke mahkamah untuk buat pengesahan tu..
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
Lafaz tersebut pada zahirnya tidak mengandungi sebarang unsur perceraian dan bukan termasuk dalam kategori lafaz kinayah. Ia juga tidak membawa sebarang kemungkinan makna cerai sama ada dari sudut bahasa mahupun ‘uruf.
Ungkapan “cukup setakat ini sahaja” dalam konteks kebiasaan difahami sebagai menamatkan perbincangan, menghentikan urusan kewangan, atau tidak mahu memanjangkan lagi sesuatu perkara, dan ia lazimnya tidak ditafsirkan sebagai membawa maksud perceraian.
Walau bagaimanapun, sekiranya puan masih berasa ragu dalam perkara ini, puan disarankan untuk merujuk kepada Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau Pegawai Khidmat Nasihat di mana-mana Jabatan Agama Islam atau Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran. Hal ini kerana pihak tersebut mempunyai bidang kuasa dan autoriti untuk memberikan penjelasan serta pandangan yang lebih tepat dan berautoriti.
Sekian terima kasih