Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz.
Saya nak minta pencerahan.
Saya ada sahabat baik. Beza umur kami lebih kurang 12 tahun. Saya dah anggap dia seperti kakak kandung saya.
Kini saya telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berumur 9tahun. Kakak saya belum berkawin di mana usianya kini telah mencapai 49 tahun. Anak saya menganggapnya seperti seorang mak dan dia juga begitu memandangkan dia tiada anak. Hubungan mereka memang rapat kerana kami menjaga bersama.
Soalan saya, bolehkan anak saya tidur dengan kakak saya( bukan kakak kandung) kerana anak saya telah bersunat? Bagaimana cara saya terangkan kepadanya kerana hubungan kekeluargaan antara kami sangat rapat.
Mohon pencerahan. Terima kasih ustaz.
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, anak lelaki berumur 9 tahun biasanya sudah berada pada tahap mumayyiz dan sudah didedahkan dengan hukum-hakam syarak seperti solat, puasa dan sebagainya. Dia perlu mengetahui siapa yang merupakan mahramnya dan siapa yang bukan. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash, beliau mengatajan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kamu supaya mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka (sebagai didikan) apabila mereka berumur sepuluh tahun (jika mereka meninggalkan solat), serta pisahkanlah mereka di tempat-tempat tidur. (Riwayat Abu Daud)
Antara yang terkandung dalam hadis tersebut ialah suruhan untuk memisahkan tempat tidur anak daripada tempat tidur ibu bapanya, apatah lagi tempat tidur yang selain ibu bapanya.
Justeru, puan boleh jelaskan secara lembut dengan menyatakan bahawa anak puan sudah makin besar. Dalam Islam bila anak sudah meningkat umur, terdapat batasan yang perlu dijaga antara anak dengan ibu bapanya seperti tempat tidur, apatah lagi selain ibu bapanya. Ini merupakan adab yang diajarkan dalam Islam supaya anak membesar dengan baik.
Sekian, terima kasih.