BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Saya ada beberapa pertanyaan berdasarkan situasi dibawah:
Seorang lelaki dan perempuan telah berkahwin, mereka mempunyai 2 orang anak dimana 1 tak sahtaraf. Bagi anak taksahtaraf tersebut, difahami nasabnya adalah kepada ibu termasuk penjagaan. Dan ibu dan ayah tersebut telah bercerai. Untuk makluman Tuan, keluarga si ibu itu tidak menganut agama islam. Seibu juga setelah bercerai, tidak mengamalkan ajaran islam. Anak pernah nampak si ibu minum arak dan makan babi. anak tak sahtaraf tersebut adalah anak lelaki. Apakah dalam keadaan si ibu itu, anak masih perlu bersama ibu? ayah anak tersebut ingin membuat tuntutan hadhanah terhadap anak tak sah taraf tersebut, namun setelah ditanya pada pihak pegawai agama, secara jelas dinyatakan bahawa ayah tidak berhak. Saya ingin bertanya bagi pihak anak tersebut, apakah tiada pandangan ulama/ ijtihad berkenaan situasi anak tak sahtaraf yang sebegini. Jika tinggal bersama ibu yang sudah tidak lagi mengamalkan ajaran islam? bagaimana aqidah anak tersebut? apakah si ayah memang tertutup langsung peluang untuk mengambil anak tersebut atas faktor ingin menjaga akidah anak tersebut? atau anak tersebut akan diserahkan kepada JKM. Concern saya adalah bagaimana penjagaan akidah anak tersebut, sekiranya hak penjagaan masih diberikan kepada ibu beserta keluarga ibu kerana secara jelas syarat penjaga itu haruslah Islam. Ahli Keluarga Ibu yang tidak Islam dan Ibu yang sudah tidak mengamalkan ajaran Islam. Sepanjanh keberadaan anak tersebut bersama ibu juga tidak diberikan hak pendidikan. anak tersebut tidak disekolahkan. Jadi saya mohon pandangan pada ilmuan, adakah pada situasi ini. seorang ayah tetap hilang secara total hak untuk menjaga anak tersebut? Kita sudah berada di zaman yang pelbagai masalah baru timbul. jadi saya harapkan ijtihad para ulama berkenaan isu ini kerana saya tidak sanggup lihat anak-anak dengan nasib yang sama hilang arah. Mereka tidak sanggup tinggal dengan ibu, tapi mereka tidak dibenarkan tinggal dengan ayah. Kebajikan mereka dari segi nafkah, pendidikan, keperluan harian diabaikan. Akidah anak-anak tersebut juga diuji dengan persekitaran dirumah ibunya. Mohon pandangan yang lebih arif. Terima kasih

 

Dari saya yang ingin dapatkan penjelasan lanjut. saya tidak mahu dihubungi. cukup sekadar memberikan saya pandangan dari pihak mufti. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan tuan, dalam mazhab al-Syafi‘i, anak tak sah taraf tidak dinasabkan kepada lelaki tersebut, tetapi kepada ibu. Lelaki tersebut bukan wali nasab dan bukan bapa dari sudut hukum nasab. Dalam bab hadhanah, hak asal penjagaan anak kecil adalah kepada ibu, termasuklah anak tak sah taraf.

Dari sudut fiqh klasik memang benar lelaki tersebut bukan wali nasab dan bukan bapa syarie kepada anak tidak sah taraf tersebut, tetapi dari sudut maslahah dan ijtihad kontemporari mungkin ulama semasa dan Mahkamah Syariah boleh melihat kepada:

  • Prinsip Maslahah Mursalah

  • Prinsip Sadd al-Zari‘ah

  • Maqasid Syariah (penjagaan agama anak)

Oleh yang demikian, Jabatan ini mencadangkan agar tuan merujuk perkara ini ke Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi menentukan sama ada perkara ini boleh difailkan atau ada solusi yang lain demi keselamatan akidah dan kebajikan anak ini. Ini kerana bidang kuasa hadhanah di bawah Mahkamah Syariah berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 10

message user image