BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt.

Saya ada seorang kawan universiti yang suka menulis novel fiksyen berunsur fantasi dan romance. Awal-awal dia hanya berkongsi cerita novel pendek ini dengan saya kerana kami mempunyai hobi dan minat yang sama, iaitu main video game dan anime. Dia juga pernah menerbit novel-novel pendek dia ini di laman website yang agak terkenal, khas untuk menerbit (dalam bentuk digital sahaja, dan boleh dipadam dari website itu) novel atau cerita pendek fiksyen dengan macam-macam genre/unsur yang tidak terikat pada fantasi atau romance, secara percuma untuk ramai pembaca yang melayan website ini (termasuk orang-orang luar negera) dapat membaca.

Suatu hari, saya perasan dia sudah lama tidak menerbit novel-novel dia, tetapi saya nampak dia kerap menaip di laptop, macam menulis skrip. Cuma bila saya tanya dia buat cerita apa, dia cakap cerita fiksyen juga tetapi dia tidak mengulas lebih dari itu. Saya ada mengikuti akaun dia di website yang terkenal itu, tetapi sama sahaja, tiada novel baru. Dia juga dah mula tidak berkongsi apa yang dia menulis dengan saya, dengan alasan "awak baca nanti mesti jijik dengan saya."

Saya pun pujuklah dia untuk cerita kenapa dia berpendapat sebegitu. Rupa-rupanya, dia mengaku dia sudah menambah unsur-unsur lucah dalam cerita novel-novel dia. Unsur utama dia tetap fantasi dan romance, tetapi dia sekalikan juga adegan dan unsur-unsur lucah didalam novel dia. Tetapi, dia tidak pernah lagi menerbit cerita yang berunusur lucah ini dekat laman website itu. Dia kata dia setakat menulis dan menyimpan untuk hiburan dia sendiri

 

Soalan saya:

1) Apa hukum bagi kawan saya atau mana-mana penulis yang menulis novel fiksyen berunsur fantasi dan romance sahaja?

2) Apa hukum bagi kawan saya yang menulis novel fiksyen yang berunsurkan fantasi, romance dan juga lucah tetapi untuk simpanan dan hiburan diri dia sendiri

3) Apa hukum bagi kawan saya APABILA ada orang lain yang sudah tahu (seperti saya) bahawa dia ada menulis cerita novel yang berunsurkan fantasi, romance dan juga lucah? Tetapi saya tidak membacanya lagi.

4) Apa hukum bagi kawan saya SEKIRANYA dia menerbit novel fiksyen yang berunsurkan fantasi, romance dan juga lucah untuk orang lain membaca? Dan apa hukum sekiranya sudah ada orang lain sudah membaca novel tersebut?

4) Apa hukum bagi mana-mana penulis yang menulis novel fiksyen yang berunsurkan lucah sahaja dan diterbitkan untuk semua orang dapat membacanya? (Disebabkan inilah kawan saya terdedah dan bermula memasukkan unsur itu dalam novel-novel dia)

 

Saya memohon kepada pihak Mufti untuk menolong menjelaskan perkara ini kepada saya dan kawan saya. Terima kasih.

Assalamualaikum.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Bagi menjawab soalan yang diajukan:

1. Sekadar menulis novel yang ada unsur fantasi dan romance tidak menjadi satu kesalahan sekiranya hanya ada unsur romantik dan tiada unsur yang dilarang syarak seperti unsur lucah dan syirik.

2. Menulis novel atau apa-apa bahan penulisan yang berunsurkan lucah adalah haram.

3. Hukum menulis novel berunsur lucah tetaplah haram dan dilarang walaupun untuk simpanan diri sendiri dan tidak diketahui atau tidak dibaca oleh orang lain.

4. Menulis novel berunsur lucah lalu novel tersebut dibaca oleh orang lain akan mengakibatkan penulis tersebut boleh mendapat dosa sebanyak dua kali ganda. Ini seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah RA, sabda Rasulullah SAW:

وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: Dan sesiapa yang memulakan dalam Islam satu amalan yang buruk lalu diamalkan oleh orang lain selepasnya, maka akan ditulis ke atasnya dosa seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka. (Riwayat Muslim)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 168

message user image