BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Apakah hukum jika seorang perbuatan bapa enggan membuat pendaftaran seorang anak yang lahir di Sabak Bernam Selangor di JPN sebaliknya datuk tiri yang menjadi pemaklum kelahiran saya sewaktu ketika saya lahir


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, bagi seorang bapa yang enggan membuat pendaftaran kelahiran seorang anak ianya dianggap cuai dan mengabaikan amanah serta tanggungjawab yang telah diberikan. Dari segi hukum syarak, bapa adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap anak dari segi nafkah, penjagaan dan pengurusan rasmi termasuk pendaftaran kelahiran.

Namun demikian, pemaklum kelahiran anak tidak semestinya bapa sahaja. Undang-undang membenarkan orang lain yang hadir atau bertanggungjawab ketika kelahiran (contohnya ibu, datuk, nenek atau ahli keluarga lain) untuk membuat laporan kelahiran. Maka, dari sudut undang-undang, pendaftaran oleh datuk tiri adalah sah dan dokumen kelahiran tetap diiktiraf.

Walaupun dokumen sah, keengganan bapa tetap menunjukkan kecuaian terhadap hak anak. Anak tidak menanggung dosa, malah tetap sah tarafnya jika lahir dalam pernikahan yang sah. Tindakan datuk tiri sebagai pemaklum adalah harus kerana ia menjaga maslahat anak dan memastikan hak anak tidak terabai.

Seorang bapa atau suami tersebut adalah juga dianggap sebagai pembimbing agama dan pelindung keluarganya, seperti sabdaan Nabi Muhammad SAW menerusi hadith baginda:  

كلُّكم راعٍ وكلكم مسؤولٌ عن رعيَّتِه؛ الإمامُ راعٍ ومسؤولٌ عن رعيته، والرجلُ راعٍ في أهله وهو مسؤول عن رعيته، والمرأة راعيةٌ في بيتِ زوجها ومسؤولةٌ عن رعيتها، والخادم راع في مال سيده ومسؤولٌ عن رعيته

"Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu bertanggungjawab terhadap rakyatnya (orang bawahnya). Seorang lelaki (suami/ bapa) adalah pemimpin dalam keluarganya dan dia bertanggungjawab ke atas mereka. Wanita (isteri/ ibu) pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang khadam adalah pemimpin terhadap harta tuannya, dia dipertanggungjawab tentang rakyatnya".

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 54

message user image