Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, pertanyaan sy
1. Apa hukum jika meminta upah dengan menghantar seseorang pergi ke sesuatu tempat yang dia ingin dia tujui.
2. Adakah dikategorikan mendekati zina dan berdosa jika seorang pemandu membawa seorang wanita yang tiada ikatan kekeluargaan menuju ke tempat yang ingin dia tujui dan mengambil upah, adakah upah itu halal untuk digunakan membeli barang makanan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan adalah seperti pernyataan berikut:
1.Hukum meminta upah untuk menghantar seseorang ke tempat yang ingin dituju adalah harus (dibolehkan) dalam Islam. Ini termasuk dalam kategori kontrak ijarah (sewaan atau upah) atas perkhidmatan yang diberikan sebagaimana pandangan Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh
اتفق الفقهاء على مشروعية عقد الإجارة... واستدل الجمهور على جواز عقد الإيجار بالقرآن والسنة والإجماع
Para fuqaha' (ahli fiqh) telah bersepakat tentang keharusan akad ijarah... Dan jumhur ulama berdalil atas keharusan akad ijarah dengan Al-Quran, Sunnah, dan Ijmak.
Ini bermakna, perkhidmatan pengangkutan adalah salah satu bentuk pekerjaan yang boleh diupah, selagi mana perkhidmatan tersebut adalah sah di sisi syarak dan tidak melibatkan perkara yang haram.
2. Jika menjalankan perkhidmatan seperti e-hailing, teksi dan seumpamanya diharuskan untuk membawa seorang wanita yang tiada ikatan keluarga atau ajnabi sekadar menjalankan tugas dan perkhidmatan. Sekiranya tujuan menjalankan perkhidmatan penghantaran penumpang bertujuan untuk melihat wanita atau memuaskan nafsu, maka haram hukumnya. Ia menjadi haram bukan kerana perkhidmatan tersebut, tetapi kerana niatnya yang salah.
Sekian, terima kasih.