Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Mohon bantu dalam persoalan saya.
Sebulan sebelum ini, saya telah bergaduh dengan isteri dan telah melafazkan lafaz kinayah. Saya telah ke mahkamah dan telah diputuskan bahawa tiada satu pun lafaz-lafaz itu yang jatuh talaq. Kami masih suami isteri.
Kemudian baru-baru ini saya telah bercerita kepada sahabat saya mengenai kejadian tersebut. Dalam perceritaan tersebut, saya telah menyebut:
"aku hampir ceraikan isteri aku",
"aku nak ceraikan dah isteri aku haritu",
"kalau mak aku tak masuk campur, aku dah ceraikan dia",
"aku memang dah nak pergi mahkamah nak ceraikan"
dan beberapa lagi yang lebih kurang ayatnya.
Adakah dalam bentuk penceritaan ini boleh jadi jatuh juga talaq? Tiada lafaz sarih yang saya ucapkan.
Terima kasih untuk jawapan.
Jawapan
Menjawab persoalan tuan, lafaz-lafaz yang disebut dalam bentuk penceritaan kepada sahabat, kawan atau orang lain atau dalam ceramah atau dalam kelas pembelajaran oleh guru kepada muridnya tidak menyebabkan jatuh talak, kerana ia merupakan lafaz berbentuk penceritaan, andaian, niat, atau menyatakan apa yang telah berlaku pada masa lalu, dan bukannya lafaz talak yang ditujukan secara langsung kepada isteri untuk menjatuhkan talak.
Sekian terima kasih