BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada persoalan berkenaan status hubungan saya dan suami.

Saya telah bergaduh dengan suami dan mengeluarkan perkataan kesat (saya berkata sendirian dalam keadaan marah). Suami terdengar dan dengan nada marah bertanya pada saya adakah perkataan itu ditujukan padanya. Dia berkata jatuh talak jika saya benar2 berkata perkataan kesat itu kepadanya. Saya jawab pada suami perkataan kesat itu bukan tertuju pada suami tapi saya hanya menyebut perkataan kesat itu pada diri sendiri dan tidak tertuju kepada sesiapa. Saya berkata pada suami agar tidak menyebut perkataan talak walau dalam keadaan marah. Dan akhirnya suami bertanya semula adakah benar2 perkataan itu ditujukan padanya dan saya memberi jawapan bukan tertuju padanya (saya hanya menyebut perkataan kesat itu ketika marah). Persoalan saya, adakah telah berlaku talak?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan, pertamanya, talak tidak berlaku semata-mata kerana suami menyebut perkataan "jatuh talak" dalam perbualan. Yang menjadi penentu ialah lafaz sebenar yang diucapkan oleh suami, susunan ayatnya, dan niat atau maksud yang terkandung pada lafaz tersebut.

Lafaz suami puan terhadap puan iaitu "jatuh talak jika saya benar-benar berkata perkataan kesat itu kepadanya" secara zahirnya tergolong dalam taklik talak (talak yang digantung dengan syarat) kerana suami mengaitkan berlakunya talak dengan suatu keadaan atau fakta tertentu, iaitu sama ada isteri benar-benar telah mengucapkan perkataan kesat tersebut kepada suami atau tidak. Dan berdasarkan fakta yang puan nyatakan bahawa puan menyebut perkataan kesat seorang diri dalam keadaan marah dan ia bukan ditujukan kepada suami. Jika kenyataannya memang benar bahawa perkataan tersebut tidak ditujukan kepada suami, maka syarat yang disebut oleh suami tidak berlaku.

Namun penentuan muktamad, tetap memerlukan penelitian terhadap lafaz asal yang tepat, konteks percakapan, dan niat suami ketika mengucapkannya, maka perkara tersebut sewajarnya dirujuk kepada pihak berautoriti seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia atau Mahkamah Syariah atau Pejabat Agama Islam yang berbidang kuasa untuk penelitian terperinci dengan kadar yang segera.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 3

message user image