BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Tuan,

Saya ingin bertanya, apakah hukum berjual beli sebidang tanah yang berstatus 'leasehold'? Untuk pengetahuan tuan, tanah ini merupakan harta pusaka arwah bapa saya, dan saya ingin menjualnya kepada pihak lain kerana tiada lagi sebarang kepentingan bagi saya mahupun ahli keluarga yang lain. Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan, hukum menjual tanah leasehold pusaka arwah bapa adalah harus dengan syarat tanah itu sepenuhnya milik yang sah. Hal ini kerana dari sudut syarak, hak ke atas tanah leasehold yang didaftarkan secara sah dikira harta (mal) yang mempunyai nilai dan boleh dijual beli. Asal hukum muamalat adalah harus selagi tiada unsur haram seperti kezaliman, penipuan, riba dan sebagainya. 

Disebabkan tanah itu merupakan harta pusaka arwah bapa, maka pemiliknya sekarang ialah semua waris faraid yang berhak. Jika mahu jual seluruh tanah kepada orang lain, semua waris berhak perlu bersetuju dan jual beli tanah tersebut mengikut prosedur undang-undang tanah (pejabat tanah, kebenaran Pihak Berkuasa Negeri jika perlu). Ia meliputi penyelesaian urusan pusaka (sijil faraid, perintah pembahagian, probet dan sebagainya) jika hak milik masih nama arwah bapa. Begitu juga perlu membuaat semakan geran sama ada terdapat sekatan seperti perlu kebenaran Pihak Berkuasa Negeri sebelum pindah milik. Hasil jualan kemudian dibahagikan mengikut bahagian faraid masing-masing kecuali semua waris bersetuju pembahagian lain yang dibenarkan.

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 23

message user image