BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamu'alaikum.

Saya ingin tahu, adakah berdosa penjual rumah jika bersetuju untuk meletakkan harga yang lebih tinggi pada dokumen rasmi dengan niat supaya pembeli dapat biayai pembelian rumah tersebut sepenuhnya dengan pinjaman bank. Contohnya, harga jualan yang dipersetujui antara pembeli dan penjual ialah RM350k. Lazimnya, pembeli perlu membayar wang pendahuluan 10% = RM35k. Tetapi kerana tidak mampu untuk membayar wang pendahuluan, harga yang diletakkan pada Letter of Offer ialah RM390k. Tujuannya supaya pembeli dapat buat pinjaman RM350k untuk membiayai sepenuhnya harga jualan.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan;

Pada asasnya, tindakan meletakkan harga yang lebih tinggi dalam dokumen rasmi berbanding harga sebenar transaksi dengan tujuan mendapatkan pembiayaan yang lebih tinggi daripada pihak bank adalah tidak dibenarkan sekiranya ia dilakukan tanpa pengetahuan dan persetujuan pihak bank. Perbuatan tersebut mengandungi unsur penipuan (الغش), tadlis (التدليس) dan penyataan maklumat yang tidak benar kepada institusi kewangan.

Sekiranya sejak awal telah berlaku kesepakatan antara pembeli dan penjual untuk menaikkan harga dalam dokumen semata-mata bagi mewujudkan gambaran yang tidak benar kepada pihak bank bahawa harga jualan adalah lebih tinggi daripada harga sebenar, maka perbuatan tersebut termasuk dalam kategori penipuan yang diharamkan oleh syarak dan kedua-dua pihak menanggung dosa atas perbuatan tersebut.

Namun begitu, sekiranya pihak bank mengetahui dan bersetuju dengan harga yang dicadangkan, serta semua maklumat berkaitan harga sebenar transaksi, jumlah pembiayaan dan tujuan pembiayaan didedahkan secara telus kepada pihak bank, maka tidak timbul unsur penipuan. Dalam keadaan tersebut, pembiayaan yang melebihi harga jualan atau apa yang sering disebut sebagai “markup financing” hendaklah tertakluk kepada syarat dan polisi institusi kewangan serta mestilah menggunakan produk pembiayaan yang patuh Syariah.

Oleh itu, hukum sesuatu urus niaga bukan ditentukan semata-mata oleh jumlah pembiayaan yang melebihi harga jualan, tetapi bergantung kepada sama ada wujud atau tidak unsur penipuan, penyembunyian fakta dan pemberian maklumat yang tidak benar kepada pihak institusi kewangan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.    


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 15

message user image