BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Subjek: Pertanyaan Hukum Berkenaan Penggunaan Akaun Shopee Berganda Bagi Mendapatkan Baucar Pengguna Baru Serta Status Harta & Ibadah Berkaitan

Assalamualaikum Brbhg. Datuk/Tuan Mufti / Ustaz,

Saya ingin memohon pencerahan, bimbingan hukum syarak, serta jalan taubat (makhraj) berkenaan tindakan masa lalu saya sebagai pembeli di platform e-dagang Shopee.

Untuk makluman pihak Datuk/Tuan, pihak Shopee telah menetapkan syarat bahawa setiap pengguna hanya dibenarkan memiliki satu akaun sahaja. Walau bagaimanapun, saya telah membuka dan menggunakan lebih daripada satu akaun dengan memanipulasi maklumat (seperti menggunakan nombor telefon berbeza) demi mendapatkan baucar diskaun yang dikhususkan untuk pengguna baru (new user voucher).

Saya sangat kesal dengan tindakan ini dan ingin memperbetulkan keadaan mengikut syariat Islam. Oleh itu, saya ingin memohon penjelasan bagi beberapa kemusykilan berikut:

1. Hukum Menggunakan Pakaian dan Makanan Hasil Baucar Tersebut Terhadap Ibadah Apakah hukum ibadah seperti solat jika saya menggunakan pakaian yang dibeli menggunakan baucar tersebut, atau solat setelah memakan makanan yang dibeli dengan baucar tersebut? Adakah saya perlu mengqada semula solat-solat yang telah lalu?

2. Status Hukum Barangan Yang Telah Dibeli Apakah status hukum bagi fizikal barang-barang yang telah selamat saya beli menggunakan baucar tersebut? Adakah ia menjadi harta yang haram atau syubhah untuk saya terus miliki?

3. Hukum Menggantikan Nilai Baucar Untuk Terus Memiliki Barang Adakah boleh saya gantikan nilai baucar yang tersebut dengan wang jika saya ingin terus memiliki barangan yang telah dibeli dengan baucar pengguna baru tersebut?

4. Kaedah Menggantikan Nilai Baucar Yang Telah Digunakan Adakah saya wajib menggantikan semula nilai tunai baucar-baucar yang telah saya gunakan secara tidak sah itu? Jika perlu digantikan, adakah saya wajib memulangkannya semula kepada pihak Shopee (sedangkan sistem mereka mungkin tiada fungsi pemulangan ganti rugi begini), atau bolehkah saya sedekahkan nilai tersebut?

5. Status Wang Pengganti Baucar Jika nilai baucar tersebut perlu diganti, adakah duit yang digunakan untuk menggantikannya itu dikira sebagai pembersihan 'wang tidak patuh syariah'?

6. Hukum Menjual Semula Barangan Tersebut Apakah hukumnya jika saya menjual kembali barangan yang telah dibeli menggunakan baucar tersebut? Apakah pula status hukum bagi duit hasil jualan barang berkenaan? Adakah duit itu menjadi wang tidak patuh syariah yang perlu diserahkan kepada Baitulmal atau boleh disedekahkan kepada golongan miskin?

7. Hukum Menyedekahkan Barangan Tersebut Apakah hukumnya jika saya menyedekahkan terus fizikal barangan tersebut kepada orang lain? Kepada golongan manakah yang dibenarkan untuk menerima sedekah barangan sebegini?

8. Hukum Menderma Barang Dengan Menggantikan Nilai Baucar Apakah hukumnya jika saya menderma barangan tersebut, tetapi dalam masa yang sama saya menggantikan nilai baucar yang telah digunakan itu dengan niat sedekah (sebagai ganti rugi)?

9. Jalan Keluar (Taubat) Secara keseluruhannya, apakah jalan keluar taubat terbaik yang boleh saya lakukan untuk membersihkan diri dan harta saya daripada kesan tindakan memanipulasi akaun ini?

Segala pencerahan, penjelasan, dan bimbingan daripada pihak Datuk/Tuan amatlah saya hargai. Semoga Allah SWT memberkati ilmu dan masa pihak Datuk/Tuan.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan berkaitan penggunaan lebih daripada satu akaun bagi mendapatkan manfaat baucar pengguna baharu, sukacita dijelaskan bahawa perbuatan tersebut termasuk dalam kategori penipuan (الغش/al-ghish) dan mengambil manfaat secara tidak sah, yang dilarang oleh syarak. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 29:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).

Begitu juga dengan sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalangan kami. (Riwayat Muslim)

Sehubungan itu, berikut adalah penjelasan bagi setiap persoalan yang dikemukakan:

1. Hukum ibadah menggunakan pakaian atau selepas makan daripada sumber tersebut

Ibadah seperti solat yang dilakukan dengan memakai pakaian yang dibeli menggunakan baucar tersebut, atau selepas memakan makanan yang diperoleh daripadanya adalah sah dan tidak perlu diqada. Hal ini kerana pengharaman dalam isu ini berkaitan dengan cara perolehan harta (كسب), bukan pada zat barangan tersebut. Namun begitu, unsur yang tidak baik dalam sumber tersebut boleh memberi kesan kepada keberkatan ibadah dan kehidupan seseorang. 

2. Status hukum barangan yang telah dibeli

Barangan yang telah dibeli adalah tidak haram pada zatnya, namun ia terikat dengan unsur pengambilan manfaat secara tidak sah. Justeru, ia dikira sebagai harta yang mempunyai tanggungan hak pihak lain (iaitu nilai baucar yang diperoleh secara tidak sah) yang perlu diselesaikan.

3. Hukum menggantikan nilai baucar untuk terus memiliki barang

Adalah diharuskan dan digalakkan untuk menggantikan nilai baucar yang telah digunakan dengan wang sendiri sekiranya ingin terus memiliki barangan tersebut. Tindakan ini merupakan satu bentuk penyelesaian terhadap hak pihak lain.

4. Kaedah menggantikan nilai baucar yang telah digunakan

Pada asalnya, nilai tersebut hendaklah dipulangkan kepada pihak asal (Shopee). Namun, sekiranya tiada saluran praktikal untuk berbuat demikian, maka sebagai alternatif dibolehkan untuk menyalurkan nilai tersebut kepada kebajikan umum sebagai bentuk pelupusan harta yang tidak patuh syariah (التخلص من المال الحرام), bukan sebagai sedekah sunat biasa. Pelupusan harta yang tidak patuh syariah juga boleh dilakukan di Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor.

5. Status wang pengganti baucar

Wang yang digunakan untuk menggantikan nilai baucar tersebut dikira sebagai usaha pembersihan harta (تطهير المال). Ia tidak dianggap sebagai sedekah, tetapi sebaliknya merupakan tindakan menghapuskan tanggungan hak orang lain dan membersihkan diri daripada unsur yang tidak patuh syariah.

6. Hukum menjual semula barangan tersebut

Sekiranya barangan tersebut dijual sebelum nilai baucar diganti, maka hasil jualan tersebut masih mempunyai unsur yang tidak bersih. Namun, sekiranya nilai baucar telah diganti sepenuhnya, maka hasil jualan tersebut adalah halal dan tidak lagi terikat dengan sebarang isu syarak.

7. Hukum menyedekahkan barangan tersebut

Menyedekahkan barangan tersebut adalah dibolehkan. Namun, jika nilai baucar belum diganti, tindakan tersebut tidak menggugurkan tanggungan terhadap pihak asal. Oleh itu, lebih baik nilai tersebut diselesaikan terlebih dahulu sebelum sedekah dilakukan agar ia menjadi sedekah yang sah dan berpahala.

8. Hukum menderma barangan dengan menggantikan nilai baucar

Sekiranya anda mengambil pendekatan untuk menyedekahkan barangan yang telah dibeli menggunakan baucar tersebut, dan dalam masa yang sama menggantikan nilai baucar yang diperoleh secara tidak sah dengan wang yang disalurkan kepada kebajikan, maka perbuatan ini adalah diharuskan dan merupakan antara bentuk penyelesaian yang baik menurut syarak.

9. Jalan keluar (taubat) secara keseluruhan

Taubat yang sempurna dalam isu ini hendaklah merangkumi perkara berikut:

  1. Berhenti daripada perbuatan tersebut serta-merta

  2. Menyesali perbuatan yang telah dilakukan

  3. Berazam untuk tidak mengulanginya

  4. Menyelesaikan hak pihak lain dengan menggantikan nilai baucar yang telah digunakan

  5. Memperbanyakkan amal kebajikan, sebagaimana sabda Nabi SAW:

          اتَّقِ اللهَ حيثُما كنتَ، وأتبِعِ السَّيِّئةَ الحسَنةَ تَمْحُهَا

           Maksudnya: Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Dan iringilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskannya. (Riwayat al-Tirmizi)

Oleh itu sebagai kesimpulan, perbuatan memanipulasi akaun untuk mendapatkan manfaat baucar adalah tidak dibenarkan oleh syarak. Namun, Islam membuka ruang taubat dan penyelesaian melalui penggantian hak serta pembersihan harta. Dengan langkah-langkah yang betul, harta tersebut boleh menjadi bersih dan penggunaan seterusnya adalah dibenarkan.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 39

message user image