Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya telah mengambil insuran nyawa konvensional 15 tahun dahulu dan akan matang dalam 15 tahun lagi. Saya mengambilnya
sebagai alternatif kepada MRTA semasa saya membeli rumah. Kini saya tahu insuran konvensional adalah haram dan faham
jalan terbaik adalah untuk saya menamatkannya. Menamatkannya akan memberi kesan kerugian kewangan yang agak besar bagi saya.
Faktor umur dan keadaan kesihatan saya kini juga menyebabkan mustahil bagi saya untuk mengambil insuran Takaful sebagai alternatif.
Saya mempunyai anak OKU yang amat memerlukan apa juga bantuan kewangan apabila ketiadaan saya nanti. Saya ingin bertanya samada
bolehkah jika saya meneruskan dengan insuran tersebut dengan niat dan pesanan yang hanya jumlah pokok sahaja boleh digunakan dan selebihnya
diserahkan ke Baitul Maal. Persoalan yang lebih penting adalah samada saya akan sentiasa berada di dalam keadaan berdosa jika saya meneruskannya.
Jawapan
Merujuk kepada soalan,
Pada asalnya, mengambil insurans nyawa konvensional adalah tidak diharuskan menurut hukum syarak kerana akadnya mengandungi unsur yang diharamkan seperti riba, gharar dan maisir. Namun, bagi mereka yang telah mengambil polisi tersebut dalam keadaan tidak mengetahui status pengharamannya, maka mereka dimaafkan atas kejahilan tersebut dan tidak berdosa atas perbuatan yang lalu. Oleh itu, seseorang Muslim yang telah mengambil polisi sedemikian hendaklah berusaha untuk menamatkannya atau berpindah kepada alternatif yang patuh syariah seperti takaful apabila mempunyai kemampuan dan peluang berbuat demikian.
Walau bagaimanapun, dalam situasi puan, tujuan utama pengambilan insurans tersebut adalah sebagai perlindungan terhadap pembiayaan rumah, iaitu sebagai alternatif kepada MRTA. Setelah puan berusaha mendapatkan perlindungan yang patuh syariah tetapi tidak lagi berpeluang berbuat demikian disebabkan faktor umur, tahap kesihatan dan keadaan semasa, maka dibolehkan untuk puan meneruskan polisi tersebut sehingga tempoh pembiayaan rumah selesai.
Kelonggaran ini diberikan berdasarkan prinsip keperluan (hajah) yang menghampiri darurat, khususnya bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar kepada diri dan keluarga. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 173:
Maksudnya: maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa.
Sehubungan itu, puan tidak dianggap terus berada dalam keadaan berdosa sepanjang tempoh meneruskan polisi tersebut sekiranya ia dilakukan atas dasar keperluan yang nyata, telah berusaha mencari alternatif yang patuh syariah dan tidak mempunyai pilihan lain yang munasabah.
Sekiranya puan masih hidup setelah hutang rumah selesai dan polisi tersebut matang, maka yang harus dimanfaatkan hanyalah jumlah wang caruman (wang pokok) yang telah dibayar. Adapun lebihan yang terhasil daripada manfaat insurans konvensional hendaklah disalurkan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri atau maslahah umum umat Islam sebagai proses pembersihan harta (tathhir al-mal).
Namun, sekiranya puan meninggal dunia sebelum hutang rumah selesai, maka hendaklah diselesaikan terlebih dahulu baki hutang rumah menggunakan wang caruman (wang pokok) yang telah dibayar. Sekiranya jumlah tersebut tidak mencukupi, barulah digunakan wang pampasan insurans nyawa bagi melunaskan baki hutang yang masih tertunggak. Ini kerana pelunasan hutang merupakan satu tuntutan syarak yang amat dititikberatkan.
Selepas hutang diselesaikan, sekiranya ahli waris terdiri daripada golongan yang benar-benar memerlukan seperti anak OKU yang bergantung kepada nafkah dan termasuk dalam kategori asnaf atau mereka yang berada dalam kesempitan hidup, maka pada asalnya mereka hanya boleh memanfaatkan jumlah wang caruman (wang pokok) yang telah dicarum. Akan tetapi, jika jumlah tersebut tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan asas kehidupan, maka mereka dibenarkan mengambil sebahagian daripada manfaat pampasan insurans tersebut sekadar kadar keperluan (bi qadr al-hajah) dan tidak secara berlebihan.
Ini berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi seperti berikut :
1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam.
2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.
3. Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin.
4. Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah Kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (3) di atas.
Kesimpulannya, puan hendaklah terus berusaha sedaya mungkin mencari alternatif yang patuh syariah serta memperbanyakkan taubat dan istighfar atas keterlibatan dalam akad yang tidak menepati syarak. Namun, sekiranya alternatif tersebut benar-benar tidak dapat diperoleh, maka puan dibenarkan meneruskan polisi insurans sedia ada sehingga objektif asalnya iaitu perlindungan hutang rumah selesai. Dalam keadaan tersebut, puan tidak dianggap sentiasa berada dalam dosa kerana meneruskannya atas dasar keperluan yang diiktiraf syarak dan bukan kerana reda atau memilih unsur yang diharamkan, di samping terus berazam untuk meninggalkannya apabila terdapat pilihan yang patuh syariah.
Sekian. Terima kasih.