Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Pada suatu hari saya ada membeli surat pajak emas berat yang dinyatakan dalam surat ialah 24gram. Selepas tebus saya dapatkan emas tersebut kemudian mahu jual di sebuah kedai emas yang lain.
Ternyata ketika mahu menjual berat emas tersebut lebih daripada 24gram, iaitu 24.9gram. Lebih 0.9gram di situ.
Adakah saya perlu memberitahu penjual tentang emasnya sedangkan kami dah akad jual beli dengan harga dan berat tertulis dalam surat iaitu 24gram?
Jawapan
Berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tentang Parameter pelaburan emas, dinyatakan bahawa syarat-syarat ketat item ribawi hanya terpakai kepada emas jongkong dan syiling emas. Manakala barang kemas atau perhiasan emas telah dianggap keluar daripada illah ribawi kerana faktor pembuatan (pertukangan), lalu dikira sebagai barang bukan lagi thaman (matawang).
Merujuk kepada soalan, akad jual beli emas tuan dengan kedai emas pertama adalah sah dan tidak batal hanya kerana ada lebihan 0.9 gram yang tidak diketahui ketika akad. Dalam konteks Malaysia, emas perhiasan tidak lagi dianggap item ribawi dari sudut jual beli, tetapi dikira sebagai barang, jadi isu riba berat tidak timbul dalam situasi ini.
Tuan tidak wajib kembali kepada kedai pertama untuk memaklumkan lebihan 0.9g tersebut kerana akad telah berlaku berdasarkan maklumat yang dipersetujui pada waktu itu dan kedua-dua pihak reda, serta tiada unsur penipuan. Namun, jika pihak kedai kemudian mengetahui dan berasa tidak reda lalu menuntut penjelasan atau pelarasan, maka secara fiqh mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian (hak khiyar), dan ketika itu elok diselesaikan secara sukarela dan dengan cara yang baik. Namun jika tiada tuntutan serta pihak kedai pun reda dengan akad yang telah berlaku, akad kekal sah dan muktamad.
Dalam jualan seterusnya di kedai lain, yang diambil kira ialah timbangan semasa akad di kedai tersebut. Jika tuan sudah tahu berat sebenar, tidak wajar menipu timbangan atau menyembunyikan fakta yang, jika diketahui, akan mengubah harga atau keputusan pembeli.
Jika ingin berihtiyat (berhati-hati) dari sudut keberkatan, tuan boleh memilih untuk memaklumkan secara umum kepada kedai pertama, tetapi ia termasuk bab ihsan dan bukan kewajipan hukum.
Sekian. Terima kasih.