Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t,
Tuan/Puan,
Saya telah kematian suami pada 8 November 2022. Soalan saya adalah berkaitan wang sumbangan orang ramai semasa kematian suami seperti berikut:
1. Wang sumbangan tersebut saya telah gunakan untuk urusan pengebumian dan juga melangsaikan hutangnya cth bayaran rumah dan juga semasa proses menguruskan harta pusaka. Adakah dibenarkan?
2. Ada lebihan wang sumbangan tersebut yang saya simpan sehingga kini. Adakah lebihan wang tersebut ada pembahagian untuk anak atau saya boleh menggunakan wang sumbangan tersebut untuk pembaikan rumah.
3. Adakah wang sumbangan yang disimpan juga diambil kira untuk zakat.
Mohon pencerahan pihak tuan/puan dalam perkara ini. Perhatian dan kerjasama pihak tuan/puan dalam perkara ini amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih.
Sekian.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan,
1.Sekiranya si mati masih memiliki hutang, pada masa yang sama si mati tidak mewarisi harta maka ahli keluarga boleh menggunakan wang tersebut bagi melangsaikan hutangnya bahkan ini bertepatan dengan tujuan pemberi yang ingin meringankan beban ahli keluarga si mati. Hal ini kerana, perkara paling utama yang perlu dilakukan oleh waris si mati ialah membayar hutang-hutang yang ditinggalkan bagi memberikan ketenangan, keampunan, kerehatan dan kerahmatan kepada roh al-marhum serta tidak ditahan untuk memasuki syurga Allah SWT. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya. Riwayat al-Tarmizi (1079)
2. Sumbangan kepada keluarga si mati boleh dikategorikan sebagai sedekah atau tabarru' kepada keluarga si mati dan tidak termasuk dalam kategori harta pusaka. Terpulang kepada waris sama ada ingin membahagikan atau ingin menggunakannya untuk keperluan lain.
3. Wang sumbangan yang disimpan akan mengambil kira hukum zakat sekiranya ia telah mencukupi haul dan melebihi nisab. Jika kedua-dua syarat ini dipenuhi, maka wajib bagi puan untuk mengeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah wang tersebut.
Sekian, terima kasih.