BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wrbkth

Saya ingin bertanya: sekiranya saya menjual sayur dalam kotak 1kg dan telah memaklumkan dengan persetujuan pembeli bahawa sayur2 1kg ini adalah campuran tuaian beberapa petani di kampung saya, adakah jualan tersebut iaitu tanpa pembeli memilih sendiri sayur untuk diisi di dalam kotak begitu dianggap haram/gharar? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, hukum jualan sayur dalam kotak 1KG yang merupakan campuran tuaian beberapa petani dan pembeli tidak memilih satu persatu adalah harus dan tidak dianggap gharar (ketidakjelasan) dengan syarat:

  1. Sayur itu telah menjadi milik tuan (tuan wakil yang sah bagi para petani)

  2. Tuan jelas memaklumkan cara campuran dan keadaan sayur

  3. Tiada penipuan, kualiti atau jenisnya dalam lingkungan yang dimaklumi pembeli

Secara asasnya hukum jual beli adalah harus selagi menepati rukun dan syarat jual beli. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 29:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu. 

Cadangan praktikal yang lebih selamat (ihtiyat) untuk lebih berhati-hati dan lebih profesional ialah:

  1. Nyatakan pada label atau secara lisan kepada pelanggan tetap seperti campuran jenis sayur yang merupakan sayur yang telah dipilih oleh penjual bukan pembeli.

  2. Jika kotak-kotak tersebut mempunyai perbezaan kualiti yang ketara, boleh dikategorikan sama ada mengikut perbezaan harga, kuantiti dan sebagainya. 

  3. Pastikan semua sayur yang diletakkan dalam kotak adalah sayur yang segar dan tidak dijadikan kotak sebagai penipuan kualiti sayur.

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 13

message user image