BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

1. Kakak saya telah memajak barang kemas di kedai pajak gadai. Pada masa itu perjanjian hanya dibuat melalui telefon sahaja. Perjanjian berbunyi begini, barang kemas kak sudah hendak tamat tempoh, kamu ada duit tidak hendak tolong tebus barang kemas di kedai pajak gadai. Tidak rugi tebus sebab harga emas akan terus naik. Jika kak tidak tebus balik dekat kamu, barang kemas itu akan menjadi hak kamu. Saya pon berfikir, betul juga kalau kakak tidak jadi ambil barang kemas itu akan menjadi hak saya dan harga emas akan naik dan terus naik. Saya pun telah bersetuju tebus barang kemas di kedai pajak gadai berjumlah 10k. kemudian, saya tidak meletakkan syarat-syarat yang lain seperti upah simpan atau pun berapa lama hendak tebus barang kemas dekat saya.  Kejadian ini berlaku 15 tahun yang lalu. Sekarang kakak saya sudah mempunyai duit dan hendak tebus kembali barang kemas yang telah saya tebus di kedai pajak gadai yang dulu.

Soalan saya:
a) Boleh atau tidak saya ambik upah simpan selama 15 tahun yang lalu. Kalau tidak boleh apa yang saya boleh dapat selama saya simpan 15 tahun.
b) Salahkah saya guna barang kemas itu untuk dipajak dulu sebelum kakak hendak tebus kembali. Adakah saya dikira tidak amanah.
c) Bolehkah saya kenakan harga emas sekarang atau ikut harga yang lama semasa saya tebus barang iaitu sebanyak 10k.

2. Sebelum emak saya meninggal dunia dea ada memajak barang kemas di kedai pajak gadai dan saya telah menebus barang kemas tersebut. Sekarang emak saya telah meninggal dunia. Semasa saya hendak tebus barang kemas tersebut satu akad telah dibuat iaitu: kalau emak tidak tebus barang kemas dekat kamu, barang kemas itu akan menjadi hak kamu. Kemudian emak saya telah meninggal dunia dan tidak sempat hendak tebus barang kemas tersebut.

Soalan saya:
a) Adakah barang kemas tersebut telah menjadi hak saya.
b) Perlukah saya faraid barang kemas tersebut. 

Sekian,
Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan pertama

  1. Tidak boleh mengambil upah simpan selama 15 tahun kerana tiada syarat bayaran upah dikenakan atau tempoh simpanan semasa perjanjian awal dibuat. Walaupun begitu, puan boleh menuntut semula jumlah tebus barang kemas di kedai pajak gadai berjumlah 10 ribu.

  2. Jika barang kemas itu masih dianggap milik kakak, puan sepatutnya tidak boleh memajak barang kemas tersebut tanpa keizinannya. 

  3. Jika tiada perjanjian tentang keuntungan atau kenaikan harga emas mengikut harga semasa, kakak puan hanya perlu membayar semula dengan harga 10 ribu iaitu jumlah harga tebus barang kemas yang puan keluarkan, bukan harga semasa. 

Merujuk kepada soalan kedua:

  1. Secara asasnya, barang tersebut masih milik ibu puan. Puan hanya bertindak menebus barang kemas tersebut menggunakan duit puan. Perjanjian bahwa ia menjadi milik puan jika ibu puan tidak tebus barang tersebut mestilah dibuat secara jelas sehingga barang tersebut menjadi hak milik puan. Jika tiada, ia dianggap sebagai suatu hutang oleh ibu puan iaitu ibu puan tidak sempat membayarnya sebelum meninggal dunia. Puan berhak untuk menuntut semula wang yang telah puan keluarkan untuk menebus barang kemas tersebut daripada harta pusaka ibu puan. 

  2. Ia perlu difaraidkan jika barang kemas tersebut masih dianggap milik ibu ketika beliau meninggal dunia. Hal ini kerana barang kemas tersebut masih dikategorikan sebagai harta pusaka milik ibu yang perlu difaraidkan selepas ditolak segala hutang, dan kos khairat kematian. Puan boleh menuntut nilai harga tebusan barang kemas sebelum faraid dibuat kerana ia merupakan hutang ibu puan atas pajak yang dibuat.

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 24

message user image