Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz...
Saya ada pertanyaan berkaitan dengan isu harta... Awal tahun 70an arwah atuk saya beli tanah di Melaka atas nama 4 anak lelakinya... 3 orang arwah pakcik saya dan seorang lagi adalah arwah ayah saya sendiri ( semuanya sudah meninggal dunia). Arwah ayah saya sahaja membina sebuah rumah dan kedai ditanah itu dengan kebenaran arwah abang-abangnya... Rumah kedai itu dibina dengan tanah itu dicagar di Bank untuk dapatkan pinjaman bank. Namun setelah beberapa tahun, arwah ayah saya diuji dengan kesusahan yang amat sangat sehingga tidak mampu membayar semula pinjaman bank. Ini menyebabkan pihak bank mengeluarkan arahan untuk lelong rumah dan kedai itu. Esok adalah hari terakhir akan dilelong, masa itu arwah ayah saya telah bertemu dengan arwah abang-abangnya supaya boleh bantu atau lelong sahaja. 2 dari arwah abang-abangnya berkata mereka tidak mahukan tanah tersebut dan hanya seorang abangnya yang kurang siuman ( arwah ayah saya bertanya kepada anak lelakinya, namun anaknya tidak setuju untuk lelong kerana takut jika ayahnya pulih seperti biasa dia tidak boleh jawab dengan bapanya). namun anak arwah *'Makcik'* saya pula telah mengambil alih dan membayar semula semua tunggakan di bank dan merekalah yang membayar sehingga selesai pinjaman bank tersebut ( pinjaman itu atas cagaran tanah pakcik ² saya sekali).. Arwah ayah saya telah wasiatkan agar rumah itu diberikan kepada anak-anak makcik saya. Saya sebagai waris ayah saya akan memberikan rumah dan tanah bahagian ayah saya kepada anak arwah 'Makcik' saya. Kini anak-anak arwah pakcik saya pula datang menuntut hak mereka, sedang semasa hendak lelong ayah-ayah mereka membiarkan sahaja dan berkata mereka tidak mahukan tanah tersebut kecuali seorang pakcik saya yang ketika itu kurang siuman(anaknya ketika itu tidak setuju). Kini waris anak-anak arwah pakcik saya menuntut hak mereka, mereka adalah seorang dari anak pakcik saya yang pernah setuju dan tidak mahukan tanah tersebut dan seorang lain anak arwah pakcik saya yang kurang siuman kini menuntut hak mereka. Apakah hukum sebenar? Adakah mereka mempunyai hak keatas tanah tersebut? Sedangkan yang membayar pinjaman bank yang bercagar tanah nama-nama arwah ayah mereka itu sendiri dibayar oleh anak-anak Makcik saya. Jika seandainya rumah itu dilelong, pasti tanah itu sudah jadi milik orang lain yang membelinya.
Harap ustaz dapat memberi jawapan yang sesuai dengan hukum Allah yang sebenar.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan;
Secara asas hukum, anak‑anak arwah pakcik tuan masih ada hak ke atas bahagian pusaka ayah mereka dalam tanah tersebut. Hak milik mereka tidak gugur hanya kerana dulu ayah mereka pernah kata “tak mahu tanah itu”, selagi tiada hibah (hadiah) atau tanazul (melepaskan hak) yang sah dan jelas direkodkan.
Namun, anak‑anak arwah makcik yang telah menyelamatkan tanah dengan membayar semua hutang bank mempunyai hak tuntutan kewangan iaitu hak untuk mendapat bayaran balik atau pampasan daripada para waris lain, kerana mereka yang menanggung hutang yang sepatutnya dipikul bersama para pemilik tanah.
Berkaitan bahagian arwah ayah: Tuan berhak ke atas bahagian pusaka ayah, tetapi dalam masa sama perlu hormati wasiat ayah untuk memberi bahagian beliau kepada anak‑anak makcik dan ia tertakluk kepada syarat faraid dan wasiat iaitu wasiat mestilah tidak melebihi 1/3 harta dan persetujuan waris jika ada lebihan, begitu juga wasiat itu hanya terpakai ke atas bahagian ayah puan, bukan bahagian pakcik‑pakcik).
Sekian. Terima kasih.