BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamuailaikum

Nenek saya meninggal 3 tahun lepas,

Masaalah sy ada berhutang dengan arwah dan masih belum mampu selesai kan semua. 

Sekarang sepupu saya marah2 kan saya sebab tak bayar hutang arwah. Dan belum buat apa2 pasal faraid. Sbb sy belum jelas kan semua.

1-Adakah cara lain untuk selesaikan faraid?

2- yang ada sekarang makcik saya dgn anak lelaki, dan saya

3.- adakah saya layak terima faraid? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Hukum Faraid adalah peraturan dalam hukum syarak yang mengaturkan pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang. Hukum Faraid adalah satu aspek penting dalam hukum keluarga Islam dan ia merupakan syariat dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 7:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ  نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

Soalan Pertama: Walaupun pembahagian faraid adalah sesuatu yang wajib dilakukan dalam kadar segera tetapi ia tetap mempunyai turutan yang perlu diutamakan:

  1. Kos pengurusan jenazah.
  2. Hutang arwah kepada pihak lain.
  3. Wasiat yang sah (jika ada, sehingga 1/3 harta dan tertakluk syarat tertentu).
  4. Baki harta diagihkan mengikut faraid.

Sekiranya puan masih belum mampu untuk menyelesaikan hutang tersebut secara menyeluruh, maka faraid boleh diteruskan tanpa menangguhkannya disebabkan hal hutang ini. Oleh yang demikian, persetujuan semua pihak waris adalah diperlukan bagi menyelesaikan isu ini dan kepada siapa yang akan bertindak sebagai penerima bayaran hutang itu dan diagihkan, apakah kaedah pembayaran dan bila tempoh perlu diselesaikan. semua perkara ini perlu diselesaikan dan dipersetujui bersama. Janganlah disebabkan urusan hutang dan harta ini menjadi punca putusnya silaturrahim antara keluarga kerana ia akan membawa musibah yang lebih besar dunia dan akhirat.

Soalan Kedua dan Ketiga: kelayakan menerima harta pusaka faraid ini bergantung kepada pembahagian yang telah ditetapkan. Sewajarnya perkara ini dibawa kepada yang berautoriti untuk menyelesaikannya. sekiranya di Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ada menyediakan khidmat pembahagian faraid dan isu-isu berkaitan.

Namun, perkara yang lebih utama dalam hal ini adalah penyelesaian hutang puan kepada keluarga arwah yang sepatutnya tidak diculasi ketika arwah masih hidup. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ خَيْرَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً

Maksudnya: Sesungguhnya sebaik-baik dalam kalangan kamu ialah orang yang paling baik dalam menunaikan hutang (Riwayat al-Bukhari)

puan sewajibnya sehabis baik mengusahakan supaya hutang-hutang ini dapat diselesaikan segera kerana ancaman dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:

نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya. (Riwayat al-Tarmizi)

والله أعلم بالصواب 

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 17

message user image