Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t.
Saya ada satu kemusykilan.
Saya ada seorang adik (Adik A) yang telah menyalahgunakan geran tanah ibu saudara dan abang sehingga ditukar nama kepada orang lain secara salah, dan tiada sebarang bayaran dibuat kepada ibu saudara dan abang, Adik A ini juga telah menghilangkan diri dan hanya anaknya sahaja dapat menghubunginya. Salah seorang adik kami telah meninggal dunia dan melalui pembahagian faraid, Adik A ini juga ada pembahagian faraidnya.
Saya nak tanya, boleh kah saya, sebagai kakak (dilantik oleh adik beradik lain sebagai wakilkuasa ("PA") untuk urusan pembahagian faraid) mengambil semua atau sebahagian dari bahagian faraid Adik A ini untuk membayar hutang ibu saudara dan abangnya? Adik beradik lain telah bersetuju dan tiada halangan.
Untuk makluman, Adik A ini telah melantik anaknya sebagai wakilkuasa untuk bahagian faraidnya.
Atau saya tidak berhak untuk berbuat begitu..
Jawapan dari pihak Jabatan Mufti Selangor amatlah saya hargai. Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan, puan tidak boleh secara sendiri mengambil atau memotong bahagian faraid adik A untuk membayar hutangnya, walaupun adik-beradik lain bersetuju. Puan tiada kuasa atas hak adik A kerana puan hanyalah PA bagi urusan pusaka adik yang meninggal, bukan wakil ke atas hak peribadi adik A. Hak adik A untuk menerima bahagian faraidnya dan hutangnya adalah dua perkara berbeza.
Adapun begitu, hak ibu saudara dan abang sebagai pemiutang tetap wujud dan wajib dilunaskan hutang tersebut oleh adik A. Cuma pelaksanaannya mesti melalui persetujuan yang jelas wakil adik A (anaknya) atau pengesahan dan perintah mahkamah Syariah. Tindakan terbaik yang boleh dibuat ialah merekodkan segala hutang adik A kepada ibu saudara dan abang. Buat rundingan secara rasmi dengan wakil adik A (anaknya), jika tidak berjaya, boleh memfailkan tuntutan di mahkamah Syariah supaya pelunasan hutang dapat dibuat dan diputuskan secara sah secara undang-undang dengan hak faraid adik A.
Sekian. Terima kasih.