Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,saya ada pertanyaan
Pada masa kini banyak game yang mempunyai system bernama gacha.System ini seperti spin judi cuma bezanya system ini tak semestinya menggunakan duit betul dan kebiasaannya mempunyai system pity didalamnya.System pity membuatkan kemungkinan seorang pemain mendapatkan watak atau barang yang bagus semakin tinggi,ketika pity mencapai batas maka ia akan beri barang yang bagus.Misalnya had pity sebuah game adalah 90,ketika gacha mencapai 90 kali gacha,maka akan terus dapat watak/barang dengan tingkat yang tinggi seperti 5 bintang atau S rank.
Jika barang/watak tersebut bukan barang/watak bagus terhad, maka gacha-gacha seterusnya akan mendapatkan barang yang bagus yang terhad.Contohnya, seseorang itu melakukan gacha dan mendapat watak dengan S rank tapi bukan limited banner,maka gacha seterusnya akan memberikan pemain tersebut mendapatkan watak S rank yang terhad.
Gacha dapat dilakukan dengan top up mata wang dunia nyata ataupun melakukan misi game yang akan memberikan duit game untuk gacha.
Saya yakin melakukan gacha dengan mata wang dunia nyata adalah haram kerana ia sama dengan judi yang mempunyai unsur ketidakadilan dan ketidaktahuan serta bergantung kepada nasib,tapi bagaimana pula hukum melakukan gacha dengan melakukan misi game?saya sudah melakukan pencarian tentang ini dan menemukan ada yang mengatakan ia boleh namun ada juga yang berkata ia haram.jadi pertanyaan saya adalah,apakah hukum sebenar melakukan gacha dengan duit game yang didapatkan melalui misi game tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara asasnya, sistem gacha yang melibatkan bayaran, sama ada menggunakan wang sebenar atau mata wang dalam permainan yang mempunyai nilai dan boleh dibeli melalui top up, adalah termasuk dalam unsur perjudian (maysir). Hal ini kerana pemain membayar sesuatu yang bernilai untuk mendapatkan ganjaran secara rawak, sedangkan hasil yang diperoleh tidak dapat dipastikan.
Oleh itu, jika mata wang dalam permainan yang digunakan untuk gacha boleh dibeli dengan wang sebenar atau mempunyai nilai kerana boleh digunakan untuk membeli item lain atau memberikan kelebihan dalam permainan, maka hukum gacha tersebut tetap tidak harus. Hukum ini tidak berubah walaupun mata wang itu diperoleh melalui misi dalam permainan atau ganjaran harian. Ini kerana yang menjadi asas hukum ialah cara transaksi gacha itu sendiri yang mengandungi unsur maysir, bukannya bagaimana mata wang tersebut diperoleh.
Kelonggaran hanya boleh diberikan sekiranya sistem gacha tersebut benar-benar percuma. Ini bermaksud pemain tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran, sama ada secara langsung atau tidak langsung, tidak melakukan top up, dan tidak menggunakan mata wang dalam permainan yang mempunyai nilai. Selain itu, ganjaran yang diperoleh juga hanyalah barangan digital yang tidak mempunyai nilai harta sebenar serta tidak boleh dijual, dipindah milik atau ditukar dengan wang atau apa-apa nilai yang lain. Dalam keadaan ini, sistem tersebut lebih hampir kepada konsep pemberian hadiah secara rawak dan bukannya perjudian (maysir). Namun, jika mana-mana syarat tersebut tidak dipenuhi, maka sistem gacha itu kembali mengandungi unsur maysir dan wajib dielakkan.
Sekian, terima kasih.