Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya sekadar ingin bertanya, dimana saya bekerja di singapura. Tahun ni company saya memberi ang pau kepada setiap staff, cuma tahun ni company tak bagi duit tetapi ticket singapore sweep ( dalam erti kata lain judi macam 4D atau toto). Sekadar ingin tahu, jikalau la nombor saya menang adakah hasilnya haram untuk saya ambil walaupun bukan saya yang beli tiket itu. Saya tak berniat pun nak main judi ni, harap maklum dan Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, isu ini sangat penting kerana melibatkan rezeki halal / haram dan kaitannya dengan unsur judi. Di dalam Surah Al-Maidah ayat 90 iaitu berbunyi
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Walaupun saudara tidak membelinya sendiri tiket tersebut, hakikatnya ia tetap tiket judi. Jika tiket itu menang, maka wang hadiah adalah hasil judi, bukan rezeki halal. Oleh itu, hasil kemenangan tetap haram diambil atau digunakan dan perlu diserahkan kepada baitulmal negeri untuk maslahat umum kerana ia dihukumkan wang tidak patuh syariah berdasarkan Fatwa Selangor 4hb Ogos 2009.
Jika tiket Singapore Sweep yang diberi majikan itu menang, hasilnya adalah haram walaupun bukan saudara yang membelinya. Gaji berkerja tetap halal, tetapi hadiah berbentuk judi tidak boleh digunakan.
Sekian, terima kasih.