Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pandangan Hukum Syarak Berkenaan Isu Hibah Bersyarat, Pecah Amanah, dan Penarikan Balik Janji Oleh Ibu (Wa'ad)
Assalamualaikum w.b.t, Tuan/Puan yang dihormati,
Saya ingin memohon pandangan serta nasihat hukum dari pihak Pejabat Mufti berkenaan satu kemelut pengurusan harta dan hibah yang berlaku dalam keluarga saya, melibatkan ibu saya dan abang saya.
Berikut adalah kronologi ringkas kejadian:
1. Latar Belakang Pemberian (Hibah)
Ibu saya telah menjual tanah bahagiannya dan memperoleh RM100,000. Penjualan ini diuruskan oleh A. Beliau telah menyerahkan wang tersebut dengan perjanjian lisan kepada abang saya (selepas ini dirujuk sebagai A) dengan tujuan dan syarat khusus: A mesti membina rumah di atas sebidang tanah supaya A boleh tinggal berdekatan dan menjaga ibu di hari tua.
RM20,000 dimasukkan terus ke akaun A sebagai deposit daripada pembeli tanah.
RM2,000 dikeluarkan untuk pembayaran zakat.
Baki RM78,000 dimasukkan ke dalam akaun kakak saya (dirujuk sebagai Z) di mana A sendiri yang meminta Z bertindak sebagai pemegang amanah untuk memudahkan pengurusan.
2. Isu Pelaburan Lebur (RM35,000)
Tidak lama kemudian (pembinaan rumah A masih belum bermula), A telah berjumpa dengan ibu dan memujuknya untuk menggunakan RM35,000 daripada dana tersebut ke dalam skim pelaburan "Mecca Fund" dengan janji pulangan berganda. Ibu saya yang merupakan seorang warga emas, langsung tidak memahami risiko pelaburan tersebut dan hanya bersetuju kerana terpengaruh dengan kata-kata A. Berdasarkan keizinan (yang tidak didasari kefahaman) ini, ibu mengarahkan Z menyerahkan RM35,000 kepada A. Z patuh kepada arahan ibu. Skim tersebut ternyata palsu dan wang RM35,000 itu lebur.
3. Tindakan Infaq oleh Ibu
Akibat kejadian wang lebur tersebut, ibu berasa marah, ralat, dan bimbang baki wang akan habis tanpa rumah berjaya dibina. Ibu kemudian mengarahkan pemegang amanah (Z) untuk menginfaqkan sejumlah wang kepada masjid dan surau. Z mematuhi arahan pemilik wang (ibu) dan membuat infaq sebanyak RM20,000.
4. Pembinaan Rumah Diteruskan Rumah tersebut akhirnya disiapkan menggunakan beberapa sumber kewangan:
Baki wang dari akaun pemegang amanah (Z) sebanyak RM23,000 (digunakan untuk upah tukang).
Pengeluaran wang KWSP milik A sendiri.
Ibu juga ada mengeluarkan wang simpanan peribadinya sendiri sebanyak RM10,000 untuk menambak tanah tapak rumah tersebut kerana masih tidak melihat progres pembinaan rumah A bermula.
5. Kemelut Terkini dan Tuntutan A
Kini setelah beberapa tahun berlalu dan setelah rumah A berjaya disiapkan, A kini menyalahkan Z kerana tidak amanah dan menyalahkan ibu kerana menginfaqkan wang RM20,000 tersebut tanpa kebenarannya. A mendakwa wang infaq itu adalah haknya. Dengan menolak RM10,000 (sebagai kos sebahagian rumah), A memberi tekanan emosi secara berterusan kepada ibu untuk memulangkan baki RM10,000 daripada jumlah infaq tersebut. Akibat tidak tahan diasak dan tertekan, ibu pada mulanya bersetuju untuk memberikan RM10,000 tersebut semata-mata untuk menghentikan desakan A. Namun, beberapa hari kemudian, ibu bertukar fikiran dan tidak mahu menyerahkan wang tersebut kerana beliau tidak redha.
Persoalan Hukum: Berdasarkan situasi di atas, saya ingin memohon pencerahan:
Status Pemilikan Asal: Adakah wang RM100,000 ini dikira sebagai Hibah Bersyarat? Memandangkan ibu bersetuju wang RM35,000 dikeluarkan atas dasar keliruan/terpedaya dengan janji A, siapakah yang menanggung liabiliti atas leburnya wang tersebut?
Penarikan Balik Hibah: Adakah tindakan ibu mengarahkan Z menginfaqkan RM20,000 itu sah di sisi syarak (sebagai penarikan balik pemberian ibu kepada anak) akibat pelanggaran syarat pembinaan rumah?
Tanggungjawab Z: Adakah peranan Z sebagai pemegang amanah terbatal, atau adakah Z menanggung sebarang dosa/salah laku syarak apabila dia menyerahkan wang mengikut arahan ibu berbanding arahan A?
Janji Akibat Tekanan: Berkenaan janji ibu untuk memulangkan RM10,000 kepada A, adakah ibu berdosa jika membatalkan janji (wa'ad) tersebut memandangkan persetujuan asalnya dibuat dalam keadaan tertekan dan tiada keredhaan hati?
Pandangan dan fatwa dari pihak Tuan/Puan amatlah kami harapkan bagi menjernihkan kekeliruan ini serta melindungi hak ibu saya mengikut lunas syarak.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya, RM100,000 itu kekal milik ibu, dan apa yang berlaku lebih tepat di dalam syarak disebut sebagai hibah bersyarat atau hibah bertujuan tertentu yang belum sempurna sepenuhnya, ia bukanlah serahan pemilikan secara mutlak kepada A tanpa syarat.
Pelaburan RM35,000 dalam skim “Mecca Fund” yang bersifat skim pelaburan tidak patuh syariah dan berunsur penipuan adalah pelaburan yang haram dan berunsur gharar, A berdosa kerana mempengaruhi ibu, dan dari sudut amanah A bertanggungjawab memberikan ganti rugi (dhaman) tersebut kepada ibu, walaupun dari sudut pemilikan asal wang itu adalah milik ibu.
Arahan ibu kepada Z untuk menginfaqkan RM20,000 adalah sah di sisi syarak kerana wang itu masih milik ibu dan ibu berhak menarik balik pemberian kepada A sebelum pemberian itu sempurna, A tidak berhak menuntut semula nilai infaq tersebut.
Z sebagai pemegang amanah tidak berdosa dan tidak khianat selama dia mengikuti arahan pemilik harta iaitu ibu dan tidak melakukan kecuaian.
Janji ibu untuk memulangkan RM10,000 kepada A yang dibuat dalam keadaan tekanan emosi tidak mewajibkan ibu untuk menunaikannya, ibu tidak berdosa jika membatalkan janji tersebut, malah dia berhak mempertahankan hartanya yang memang bukan hak A.
Sekian, terima kasih.