BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum,

Saya ingin bertanya, arwah ayah saya telah meninggal dunia pada April 2025. Arwah meninggalkan harta pusaka merupakan 2 lot tanah pertanian yang tiada sebarang hasil. Kecuali sebuah rumah yang diduduki oleh ibu dan 2 adik lelaki yang belum berkahwin. Kami sekeluarga telah melakukan pembahagian pusaka secara rasmi mengikut hukum faraid. Yang mana, arwah mempunyai 1 isteri, 3 anak perempuan & 3 anak lelaki. 

Arwah mempunyai hutang dengan beberapa individu. Dan individu tersebut menuntut bayaran hutang kepada pewaris2 arwah yang dianggarkan bernilai ratusan ribu. Mengikut keadaan pewaris2 adalah tidak mampu untuk menyelesaikan. 

Persoalan disini, adakah sepatutnya harta arwah yang arwah tinggalkan sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan hutang arwah atau hutang itu tidak wajib dibayar kerana pewaris tidak berkemampuan.

 


 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, dari sudut fiqh, semua harta arwah (tanah, rumah, simpanan dan sebagainya) pada asalnya ialah harta peninggalan arwah, daripada harta tersebut, perlu diselesaikan terlebih dahulu kos pengurusan jenazah, hutang-hutang, wasiat (jika ada) dan baki setelah itu menjadi harta pusaka yang perlu difaraidkan kepada waris yang berhak. Merujuk kepada huraian tuan, faraid telah dibahagikan sebelum hutang arwah diselesaikan. Harta yang telah dibahagi tersebut masih tertakluk kepada hak pemiutang dan waris perlu pulangkan semula setakat kadar yang diperlukan untuk membayar hutang arwah. 

Jika hutang arwah lebih besar nilainya daripada harta yang ditingalkan, semua harta arwah hendaklah digunakan untuk menyelesaikan segala hutangnya setakat yang mampu. Baki hutang yang masih tinggal tidak menjadi wajib bagi waris untuk menyelesaikannya dengan harta sendiri khususnya bagi waris yang tidak berkemampuan. Jika terdapat waris yang berkemampuan dan sanggup membayar hutang tersebut, ia merupakan suatu amalan yang baik dan besar pahala. 

Antara cadangan yang boleh dibuat oleh tuan ialah mengkaji semula nilai semua aset arwah (tanah, rumah dan lain-lain), nilai jumlah hutang secara tepat bersama pemiutang dan gunakan harta arwah (secara jualan, gadaian, sewaan atau apa-apa mekanisme yang dipersetujui dan patuh Syariah) untuk membayar hutang itu. Jika waris telah menerima bahagian faraid (tukar nama, telah bahagi nilai) mereka wajib menyerahkan kembali setakat kadar yang perlu untuk menyelesaikan hutang kerana pada hakikatnya bahagian tersebut masih terikat dengan tuntutan hutang arwah. Setelah semua hutang selesai, baki sebenar boleh dimuktamadkan sebagai harta pusaka yang ditinggalkan untuk waris yang berhak. Tindakan ini bertepatan dengan prinsip Islam bahawa hak pemiutang didahulukan berbanding hak waris. 

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 24

message user image