BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Adik lelaki saya meninggal 3 bulan selepas bapa saya. Adik lelaki ada meninggalkan balu dan dua orang anak perempuan. 

Pertanyaan saya. Berapakah pembahagian faraid untuk balu dan anak perempuan arwah adik saya daripada harta arwah bapa saya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, dalam fiqh pusaka apabila seseorang meninggal dunia, semua hartanya terus menjadi milik waris-waris yang masih hidup pada saat kematian itu mengikut bahagian faraid masing-masing. 

Merujuk kepada soalan, arwah bapa meninggal dahulu. Pada ketika itu, adik lelaki tuan masih hidup, maka adik lelaki adalah waris bapa dan mendapat bahagiannya daripada pusaka bapa. Selepas itu, adik lelaki meninggal, bahagian pusaka yang telah menjadi haknya daripada harta bapa akan masuk dalam harta pusaka adik. Diperingkat kedua ini, balu dan anak perempuan adik akan mewarisi bahagian tersebut sebagai waris kepada adik (si mati yang kedua). 

Balu dan anak perempuan arwah adik bukan waris langsung kepada arwah bapa (datuk kepada anak-anak itu). Mereka hanya akan mendapat bahagian yang telah menjadi milik arwah adik. Untuk kiraan tepat bahagian arwah adik dan pembahagian peringkat kedua iaitu balu dan anak perempuan arwah adik, sebaiknya tuan merujuk pihak Baitulmal negeri yang menyediakan khidmat pengiraan harta pusaka dan pembahagian faraid kepada waris yang berhak. Ia boleh dirujuk melalui pautan berikut https://www.mais.gov.my/perkhidmatan-harta-pusaka/ atau merujuk terus secara bersemuka di Baitulmal negeri yang berdekatan. 

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 18

message user image