Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Saya ada soalan berkenaan servis sewa beli motor yang ditawarkan oleh syarikat Aeon, yang dikatakan patuh syariah. Walaubagaimanapun, saya agak tidak pasti samada adakah ianya betul patuh syariah ataupun hanya sekadar nama sahaja. Saya sertakan link kepada dokumen servis yang ditawarkan dan ingin memohon bantuan pihak tuan untuk memberi nasihat samada adakah ianya betul patuh syariah atau tidak.
Terima kasih tuan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya, produk pembiayaan kenderaan atau motosikal secara sewa beli Islam yang ditawarkan oleh institusi kewangan di Malaysia lazimnya menggunakan struktur Syariah seperti al-Ijarah Thumma al-Bai’ (AITAB) atau konsep pembiayaan lain yang telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia. Pada asasnya, struktur-struktur ini diharuskan oleh syarak selagi memenuhi rukun, syarat dan parameter Syariah yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, penentuan sama ada sesuatu produk tertentu benar-benar mematuhi kehendak Syariah tidak boleh dibuat hanya berdasarkan nama produk, label “patuh syariah” atau penerangan umum semata-mata. Ia memerlukan penelitian terhadap dokumen perjanjian, struktur kontrak, terma dan syarat, serta pelaksanaan sebenar transaksi yang terlibat.
Memandangkan semakan tersebut melibatkan aspek teknikal dan perundangan yang terperinci, pihak kami mencadangkan agar perkara ini dirujuk terus kepada Bank Negara Malaysia atau institusi kewangan yang menawarkan produk tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai struktur Syariah yang digunakan serta status kelulusan Syariahnya.
Sekian, terima kasih.