BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

ASSALAMUALAIKUM TUAN,

 

IBU SAYA TELAH MENINGGAL DUNIA. IBU MEMPUNYAI KEDIAMAN SENDIRI TETAPI MENETAP SEMENTARA DENGAN ADIK ATAS FAKTOR KESIHATAN (DIJAGA OLEH CUCUNYA BERSAMA ADIK). BELIAU ADA MEMINTA UNTUK DIPASANGKAN PENGHAWA DINGIN DI RUMAH ADIK (BILIK IBU BEREHAT) UNTUK KESELESAAN DIRINYA. WALAUBAGAIMANAPUN, ADIK BERASA SERBA SALAH DAN KHUATIR MENJADI PERTIKAIAN, MAKA ADIK BERCADANG UNTUK MEMBAYAR SEMULA KOS TERSEBUT KESELURUHAN BERNILAI RM2000 DAN MENJADIKAN PENGHAWA DINGIN TERSEBUT KEKAL DI KEDIAMAN (TUKAR MILIK). IBU MENINGGAL DUNIA KURANG LEBIH HANYA 2 BULAN SELEPAS ITU. PERSOALAN YANG TIMBUL IALAH:

 

1. SEMUA ADIK BERADIK BERBINCANG DAN BERSETUJU MENGALIHKAN PENGHAWA DINGIN TERSEBUT KE RUMAH PUSAKA BAGI KESELESAAN DAN MANFAAT BERSAMA DI RUMAH PUSAKA (TELAH DIPERSETUJUI SEMASA PERBINCANGAN BERSEMUKA DAN MENANDATANGANI PERJANJIAN BERTULIS SEBAGAI RUJUKAN ADIK BERADIK). KOS PCABUT DAN PASANG ADALAH SECARA COLLECTION KESEMUA ADIK BERADIK.

2. WALAUBAGAIMANAPUN, SELEPAS KURANG LEBIH SEMINGGU SELESAI PERBINCANGAN, ADIK MENYUARKAN SEMULA DENGAN MENYATAKAN ARWAH ADA BERKATA INGIN SEDEKAHKAN PENGHAWA DINGIN TERSEBUT KEPADANYA (SECARA LISAN SAHAJA TIADA SAKSI SEWAJARNYA). ADAKAH INI SAH DIKIRA SEBAGAI TUKAR MILIK.

3. ADAKAH ADIK DIKIRA BERHUTANG KEPADA ARWAH KERANA TELAH MENYATAKAN INGIN MEMBAYAR SEMULA KOS TERSEBUT (HUTANG TIDAK JELAS, TIADA AKAD)

4. APAKAH STATUS PEMILIKAN PENGHAWA DINGIN TERSEBUT ADAKAH DI ANGGAP SEBAGAI SEBAHAGIAN HARTA ARWAH DAN BOLEH DIPINDAH LOKASI KE RUMAH PUSAKA

5. APAKAH CADANGAN PENYELESAIAN YANG TERBAIK UNTUK KEBAIKAN SEMUA


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, harta pusaka bermaksud segala sesuatu yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah seseorang itu mati. Harta pusaka diketahui setelah ditolak segala perbelanjaan menguruskan jenazah, hutang si mati, wasiat, hibah dan harta sepencarian menurut undang-undang. Harta peninggalan si mati ini menjadi harta faraid yang perlu dibahagikan kepada waris-waris yang berhak. 

Merujuk kepada persoalan dan penerangan, penghawa dingin tersebut masih milik ibu semasa beliau masih hidup kerana ia dibeli atas permintaan dan kegunaan arwah, adik hanya bercadang untuk membayar semula tetapi tiada akad yang jelas penghawa dingin tersebut telah dibayar (dibeli) adik yang menunjukkan tiada pertukaran milik berlaku semasa hayat arwah. 

  1. Persepakatan untuk berkongsi kos pemindahan penghawa dingin kembali ke rumah pusaka adalah perbuatan yang baik jika semua adik beradik bersetuju sedemikian. 

  2. Dakwaan adik berkenaan arwah ibu ingin menghadiahkan kepadanya perlu dibuktikan dengan jelas seperti saksi atau penyerahan milik yang nyata. Perkara tersebut sebaiknya dilakukan atas persetujuan adik beradik dan bersetuju menjadikannya manfaat bersama supaya tiada pertikaian berlaku kemudiannya. 

  3. Ia belum dianggap hutang kerana tiada akad dilakukan. 

  4. Penghawa dingin tersebut merupakan harta milik ibu dan menjadi harta pusaka, jika semua adik beradik bersetuju untuk dimanfaatkan oleh semua, ia boleh dipindah ke lokasi rumah pusaka.

  5. Semua adik beradik hendaklah bermesyuarat dan mendapatkan persetujuan semua status penghawa dingin tersebut.

Antara cadangan yang boleh dibuat adalah adik membeli penghawa dingin tersebut dengan menolak kadar bahagian yang menjadi hak adik terhadap penghawa dingin tersebut. Bayaran yang diperolehi boleh dibahagikan kepada waris-waris berdasarkan hak masing-masing.

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 16

message user image