Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya nak tanya soalan berkenaan dengan punca rezeki -
Ada seorang kenalan saya yang bekerja sebagai pihak berkuasa dan berurusan dengan jenayah. Jadi selepas selesai kerja mereka, mesti akan dapat habuan duit dari tangkapan (duit rampasan) yang mereka buat dan bahagi sesama sendiri. Bukan semua duit tapi sedikit dari hasil tangkapan, atas sebab mereka kata dah bekerja keras untuk tangkap jenayah.
Saya tak nafikan kerja mereka memang bagus dalam tangkap jenayah berat, tapi saya nak tanya tentang hasil tu. Adakah dikira sumber itu adalah sumber yang haram?
Dan jika salah seorang pekerja yang terima duit tu tapi tak nak bagi anak bini makan duit itu, apakah yang patut mereka buat dengan hasil duit tu?
Kadang kala, bukan dalam bentuk duit tapi dalam bentuk barang. Dan mereka ada bagitahu yang mereka dah minta izin dari penjenayah dan mereka benarkan. Adakah ini dikira pemberian ataupun masih haram?
Jawapan
Merujuk kepada soalan, isu mengambil duit atau hasil tangkapan penjenayah adalah tertakluk kepada hukum dan undang-undang yang telah ditetapkan semasa tugas tersebut dilaksanakan. Jika seseorang bekerja sebagai penguatkuasa yang telah diberi gaji sebagai imbuhan rasmi atau tugasnya menangkap penjenayah haram baginya mengambil hasil tangkapan jenayah kerana dianggap mengambil harta tanpa hak. Sebagaimana undang-undang larangan pekerja sektor awam menerima sebarang bentuk hadiah atau imbuhan yang berkaitan kerja rasmi dikhuatiri membawa kepada perbuatan rasuah.
Jika pekerja menerima duit atau barang hasil tangkapan jenayah, namun tidak mahu menggunakannya sebagai sumber memberi rezeki kepada anak dan isteri, ia suatu perbuatan yang terpuji. Adalah sebaiknya penerimaan duit atau barang tersebut perlu dimaklumkan kepada ketua jabatan untuk tindakan selanjutnya mengikut undang-undang. Hal ini supaya pekerjaan yang dilakukan tidak menjerumuskannya kepada kesalahan undang-undang dan hukum agama.
Sekiranya keadaan tidak mengizin berbuat demikian, maka boleh diserahkan kepada Baitulmal negeri sebagai pihak yang diberi autoriti untuk menerima wang atau harta tidak patuh syariah.
Sekian. Terima kasih.