BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt.

Merujuk kepada isu https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=2452, sekarang terdapat 1 broker yang patuh shariah iaitu cimb. Tetapi saya belajar teknik serta panduan dari cikgu yang juga remiser bank dari RHB. Dimaklumkan RHB masih dalam proses ke shariah (agak bertahun juga ayat ni), Saya memerlukan dari nasihat serta tips cikgu tersebut. Adakah saya masih boleh menjalankan trading FCPO ini menggunakan platform konvensional?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Berdasarkan kepada isu yang dirujuk dalam pautan yang diberikan berkaitan keharusan urus niaga FCPO melalui platform yang mematuhi syariah, prinsip asas yang perlu difahami ialah keharusan tersebut tertakluk kepada pematuhan keseluruhan ekosistem transaksi termasuk broker, akaun dagangan, kontrak serta mekanisme pelaksanaan yang diluluskan syariah.

Sehubungan itu, jika pada masa ini platform atau broker yang telah menyediakan akaun patuh syariah ialah melalui CIMB Islamic Futures Broker, maka itu adalah pilihan yang lebih selamat dan lebih menepati kehendak syarak.

Adapun mempelajari teknik analisis, strategi dagangan, pengurusan risiko serta ilmu berkaitan FCPO daripada seorang guru atau remiser yang berada di bawah institusi konvensional seperti RHB adalah dibenarkan, selagi mana ilmu yang dipelajari itu sendiri tidak mengandungi unsur yang bercanggah dengan syarak. Ini kerana hukum belajar ilmu analisis pasaran adalah berbeza daripada hukum menggunakan platform transaksi tersebut.

Namun begitu, sekiranya transaksi sebenar dijalankan melalui platform konvensional yang masih belum mempunyai pengesahan patuh syariah, maka perkara tersebut hendaklah dielakkan. Hal ini kerana terdapat kemungkinan wujud unsur yang tidak memenuhi parameter syariah seperti isu pembiayaan berasaskan riba, mekanisme leverage, caj faedah, ataupun struktur kontrak yang belum disahkan syariah. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ali Bin Abi Thalib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ

Maksudnya: Tinggalkanlah perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan. (Riwayat al-Tirmizi)

Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan daripada Nu'man Bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang menjauhi perkara syubhah maka dia telah memelihara agama dan maruah dirinya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian:

  1. Teruskan mempelajari ilmu serta teknik trading daripada guru berkenaan jika bermanfaat.
  2. Membuka dan menjalankan transaksi sebenar hanya melalui broker atau akaun yang telah disahkan patuh syariah.
  3. Mengelakkan penggunaan akaun konvensional sehingga terdapat pengesahan rasmi pematuhan syariah oleh pihak berautoriti.

Dalam isu muamalat kewangan moden, sikap berhati-hati (ihtiyat) adalah lebih dekat kepada tuntutan syarak, lebih-lebih lagi apabila melibatkan unsur harta dan keberkatan pendapatan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 13

message user image