BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Saya diambil sebagai anak angkat oleh ibu saudara (kakak pada ayah kandung). Ibu saudara hendak menjual tanah pusaka milik arwah nenek dan bapa kandung saya telah meninggal.adakah saya mendapat faraid?dan sekiranya menerima faraid bahagian dari arwah bapa kandung saya,adakah wajar saya melepaskan bahagia tersebut kerana ibu saudara yang memelihara saya mengatakan dia berhak secara keseluruhan.berdosakah saya sekiranya menerima bahagian faraid tersebut dan ingkar permintaan ibu saudara?mohon nasihat dan penjelasan dari pihak yang lebih arif. Saya ragu-ragu,nak bahagian tersebut kerana saya hidup cukup makan b40,niat nak langsaikan hutang.tapi rasa terhutang budi pada ibu saudara


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan;

Dari sudut syarak, status anda tetap anak kandung kepada bapa anda . Dalam pembahagian pusaka arwah nenek selaku pemilik asal tanah, anda tidak menjadi waris dari pembahagian faraid secara langsung kerana bapa kandung (iaitu anak kepada nenek) telah meninggal dunia lebih dahulu. Dalam faraid biasa, cucu tidak menggantikan tempat ayah yang telah meninggal, kecuali melalui mekanisme lain seperti wasiat wajibah melalui proses mahkamah.

Fatwa Negeri Selangor bertarikh 6 Januari 2011 berhubung Hukum Perlaksanaan Wasiat Wajibah memutuskan bahawa cucu yang ayah/ibunya meninggal dahulu berhak kepada wasiat wajibah daripada harta pusaka datuk/nenek pada kadar bahagian ibu/bapa mereka, tetapi tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka datuk/nenek. Namun, ini bergantung kepada keputusan mahkamah.

Jika undang-undang/mahkamah pusaka memberi anda hak berdasarkan wasiat wajibah, maka halal hukumnya untuk anda ambil. Tidak berdosa anda mengambil bahagian itu untuk kegunaan yang baik seperti melangsaikan hutang dan tidak wajib ikut tuntutan ibu saudara yang mahu semua, kerana hak terhadap wasiat wajibah adalah hak yang diiktiraf syarak.

Namun, dari sudut akhlak dan ihsan, anda boleh pertimbang untuk berbincang secara baik, berkongsi sebahagian atau bantu ibu saudara dengan cara lain, mengikut kemampuan, tanpa menafikan hak anda yang sah dari sudut syarak jika benar anda berhak menurut undang-undang.

Sebaiknya dapatkan nasihat daripada Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri yang berhampiran dengan tempat tinggal puan bagi mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.          


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 18

message user image