Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Pohon pencerahan berkaitan harta pusaka / Faraid.
Arwah ayah telah berikan RM20 ribu kepada kakak untuk membeli sebuah rumah untuk diduduki arwah emak dan adik beradik yang bernilai RM50 ribu.
Kakak telah membeli rumah atas nama kakak untuk membuat pinjaman bank dan menggunakan RM20 ribu dqribarwah ayah dan RM30 ribu dari pinjaman bank. Pinjaman ini telah selesai pembayaran pinjaman. Rimah ini dijangkakan akan dihibahkan kepada anak saudara.
Adakah nilai RM20 ribu boleh difaraidkan kepada waris?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, status RM20 ribu yang arwah ayah beri pada kakak bergantung kepada tujuan atau niat ayah:
1. Sekiranya ayah maksudkan hibah atau hadiah kepada kakak, maka duit itu milik kakak dan rumah itu milik kakak sepenuhnya. Waris tidak berhak terhadap wang atau rumah tersebut.
2. Sekiranya ayah maksudkan pinjaman kepada kakak, maka kakak perlu memulangkan semula wang RM20 ribu itu dan menjadi harta pusaka arwah ayah yang perlu difaraidkan kepada waris.
3. Sekiranya ayah maksudkan berkongsi membeli rumah bersama kakak, maka arwah ayah berhak terhadap rumah itu pada kadar atau nisbah modal yang diberikan.
Walau bagaimanapun, seandainya terdapat pertikai waris boleh merujuk kepada Sektor Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor untuk mendapatkan bantuan mahupun penyelesaian.
Sekian. Terima kasih.