Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz.
Saya dan suami ada letak sejumlah 30gram emas di Ar Rahnu. Emas tersebut adalah milik saya yang saya beli dengan gaji saya. Soalan saya, sekiranya terjadi sesuatu kepada suami saya sebelum emas tersebut ditebus, adakah emas tersebut kena fairaid ? Sekiranya ya, apa yang perlu saya buat untuk menyatakan emas tersebut adalah milik saya. Saya ada 3 orang anak lelaki dan 2 orang perempuan. Ibu suami masih ada.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan dan penjelasan puan, emas tersebut adalah milik puan. Jika berlaku sesuatu kepada suami puan, ia tidak menjadikan emas tersebut harta pusaka milik suami puan. Adapun begitu, jika puan dan suami telah bersepakat ia merupakan harta sepencarian antara puan dan suami, maka terdapat bahagian milik suami puan yang perlu difaraidkan.
Secara umumnya, harta sepencarian adalah harta yang diperolehi suami isteri, semasa tempoh perkahwinan dengan usaha bersama atau harta yang diperolehi sebelum perkahwinan tetapi dimajukan dan dikembangkan dalam tempoh perkahwinan. Harta sepencarian ini boleh dituntut ketika berlaku penceraian, poligami atau selepas kematian salah satu pihak (suami atau isteri). Walau bagaimanapun, penentuan harta sepencarian adalah ditentukan oleh Mahkamah Syariah.
Sekian. Terima kasih.