Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT Syeikh.
Saya ingin bertanya,
1. Apakah status ataupun hukum Tariqah Al-Aliyah Qadiriah Kasnazaniah ataupun Kasnazaniah? Ini kerana saya mendapati, walaupun dalam Bai'ah dan Zikirnya menyebut nama Allah, memujiNya dan mengingatiNya, tapi di laman sesawangnya dinyatakan juga bahawa penganut agama lain boleh menyertai Tariqat ini kerana "semua menyembah Tuhan yang sama". Terdapat juga aktiviti, yang walaupun tidak diwajibkan dan hanya demonstrasi, adalah untuk menyakiti diri sendiri seperti memasukkan jarum besi kedalam diri bagi menunjukkan tawakkal. Jadi apakah hukumnya?
2. Saya sendiri telah menjadi ahli Tariqat ini kerana tidak mengetahui statusnya, dan tidak pula mengetahui fakta sepertimana diatas. Saya hanya mengamalkan wirid yang berasaskan wirid Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani (Qadiriah asal) dan tidak mengikuti dan mempercayai aktiviti/pernyataan yang melanggar syara'. Adakah saya berdosa?
Jawapan
Setakat ini masih tiada fatwa rasmi di mana-mana negeri di Malaysia berkenaan Tariqah Al-Aliyah Qadiriah Kasnazaniah. Berdasarkan penjelasan Tuan, tarekat ini mempunyai ciri-ciri ajaran sesat yang perlu dielakkan. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada Tuan untuk meninggalkan tarekat ini serta segala amalan-amalan dalam tarekat ini. Aduan boleh dibuat kepada pihak Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor. Selain itu, Tuan dinasihatkan untuk mengikuti tarekat yang lebih muktabar dan dipercayai. Adapun berkenaan status wirid Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani juga tidak dapat dipastikan kesahihannya. Oleh itu, Tuan turut dinasihatkan untuk tidak mengamalkan wirid ini sehingga lah terbukti ia sahih dan menepati syarak yang tuan kemukakan sendiri wirid tersebut kepada Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Negeri untuk sisatan Bahagian ini dan disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri.
Sekian, terima kasih.