Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya ada kemusykilan. Majikan saya penganut hindu dan abang beliau meninggal dunia minggu lepas. Minggu depan majikan dengan keluarga akan melakukan upacara ritual sembahyang untuk abang beliau. Saya dan rakan telah ditugaskan untuk menguruskan kenderaan-kenderaan tetamu yg datang menggunakan buggy (kereta golf) untuk hantar dari tempat parking ke rumah yang diadakan upacara tersebut. Apa hukumnya saya dan rakan terlibat sama dalam upacara ritual ini. Tujuan kami ditugaskan untuk memudahkan kenderaan tetamu supaya tidak pakir sesuka hati dan boleh menganggu rumah jiran-jiran.Secara tidak langsung seperti kami macam memudahkan acara tersebut. Apakah hukumnya samada harus, haram atau syirik. Terimakasih
Jawapan
Berdasarkan situasi yang dijelaskan, perbuatan membantu dalam urusan ritual agama lain adalah diharamkan kerana dikira membantu dalam perkara maksiat dan seolah-olah meredai pegangan agama lain. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma'idah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Walaupun begitu, ia tidak sampai menjadi syirik selagi hati tidak membenarkan atau mempercayai kepercayaan agama lain.
Sekian, terima kasih.