Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Dulu saya ada cakap sesuatu lebih kurang macam “orang kafir lagi baik dari orang yang tak tutup aurat” depan kawan2. Lebih kurang macam ni la. Saya agak lupa sebab dah lama. Saya pon tak tahu la kenapa saya berfikiran begitu ketika itu.
Saya tak tahu cakap tu salah.
Adakah berdosa dan syirik? Saya sudah bersyahadah banyak kali dan tarik balik kenyataan itu sorang2.
Adakah ia memadai?
Perlukah tarik balik kenyataan depan kawan? Saya pon lupa depan siapa saya cakap.
Cukupkah dengan bersyahadah sahaja sebab saya tak tahu cakap begitu salah.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, menutup aurat adalah perkara yang wajib, sekiranya ditinggalkan maka ia berdosa. Namun kita tidak boleh menyamakan dengan orang kafir. Ini kerana orang kafir tidak beriman kepada Allah SWT. Kata-kata itu adalah ucapan yang tidak baik dan seharusnya ditinggalkan serta mohon ampun kepada Allah SWT dengan beristigfar. Namun perbuatan tersebut tidak jatuh kepada syirik.
Walau bagaimanapun, jika yang dimaksudkan dengan perkataan “orang kafir lagi baik dari orang yang tak tutup aurat” adalah teguran semata-mata untuk tujuan dakwah, maka ia hendaklah selari dengan konsep dakwah yang diajarkan oleh al-Quran yang memerintahkan untuk berdakwah dengan penuh hikmah, kata-kata yang lembut dan berkesan. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nahl ayat 125 :
Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik.
Sekian, terima kasih.