BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Syarikat saya bagi peruntukan makan bila pergi outstation untuk kerja. Contoh peruntukan makan adalah RM100 sehari. Saya hanya makan RM30 dan saya claim balik dekat syarikat saya RM100. Adakah boleh claim macam tu sebab RM100 tu sepatutnya dah jadi hak saya bila outstation?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Sekiranya polisi Syarikat tuan membenarkan perkara tersebut dilakukan, maka ia diharuskan. Sebaiknya rujuk perkara ini kepada bahagian pentadbiran atau kewangan berkaitan polisi ini. Kebiasaan tuntutan adalah apa yang digunakan sahaja bukan apa yang diperuntukkan.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Kathir bin 'Amr bin 'Awf Al-Muzani daripada ayahnya daripada datuknya daripada Nabi SAW telah bersabda:

الْمُسْلِمُوْنَ عَلَى شُرُوْطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا

Maksudnya: Dan kaum Muslimin harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati kecuali syarat yang mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram. (Riwayat al-Tarmizi)

Berdasarkan hadis tersebut, setiap perjanjian, syarat dan polisi yang ditetapkan oleh sesuatu syarikat hendaklah dipatuhi selagi mana ia tidak bercanggah dengan syarak. Oleh yang demikian, sekiranya polisi syarikat secara jelas membenarkan pekerja membuat tuntutan berdasarkan kadar yang diperuntukkan walaupun perbelanjaan sebenar adalah lebih rendah, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam syarat yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Namun, jika polisi menetapkan bahawa tuntutan hendaklah dibuat berdasarkan perbelanjaan sebenar sahaja, maka tidak harus membuat tuntutan melebihi jumlah yang telah dibelanjakan kerana ia bertentangan dengan syarat yang dipersetujui serta boleh termasuk dalam mengambil harta tanpa hak.

Justeru, penentuan hukum dalam isu ini bergantung kepada polisi dan syarat tuntutan yang ditetapkan oleh majikan. Sehubungan itu, pihak yang membuat tuntutan hendaklah merujuk kepada bahagian pentadbiran atau kewangan syarikat bagi mendapatkan penjelasan agar segala urusan tuntutan dibuat secara telus, amanah dan menepati prinsip syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 23

message user image