Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Ayah saya seorang pesara & telah meninggal dunia 2016 lalu. Skim pencen nya di wariskan pada isterinya, selaku ibu saya. Saya mempunyai 6 orang adik beradik seibu sebapa & 4 orang adik beradik sebapa. Seminggu yg lalu Ibu saya telah meninggal dunia. Adakah wang skim pencen yg di wariskan pada ibu saya dulu..harus di bahagikan mengikut Faraid?
Saya ada bertanyakan pada Kakak saya tentang wang pencen ini,tapi..dia menjawab " Mak sudah pesan berikan wang itu pada salah seorang Abang saya". Tanpa ada pertanyaan pada adik beradik yg lain..adakah sah wasiat sebegitu? Mohon pencerahan..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan tersebut:
1. Kebiasaannya, pencen terbitan yang diterima oleh balu pesara menjadi hak milik balu setelah dibayar kepadanya. Apabila ibu meninggal dunia, maka wang pencen yang telah diterima dan masih berbaki dalam simpanan ibu menjadi sebahagian daripada harta pusaka ibu. Harta tersebut hendaklah diselesaikan terlebih dahulu dengan kos pengurusan jenazah, hutang dan wasiat yang sah (jika ada), kemudian bakinya dibahagikan mengikut faraid kepada waris ibu.
2. Mengenai pesanan ibu supaya wang itu diberikan kepada seorang abang, jika ia hanya pesanan lisan tanpa memenuhi syarat-syarat wasiat atau hibah, maka pada asalnya ia tidak boleh menghalang hak waris lain.
Dalam hukum faraid, wasiat kepada waris tidak berkuat kuasa kecuali semua waris yang berhak bersetuju selepas kematian pewasiat. Sabda Nabi SAW:
Maksud: "Tidak ada wasiat untuk waris."
(Hadis riwayat Abu Dawud, Al-Tirmizi dan Ibn Majah)
Oleh itu, jika abang tersebut merupakan salah seorang waris ibu, maka:
a. Jika semua waris yang berhak bersetuju memberikan bahagian itu kepadanya, maka dibolehkan.
b. Jika ada seorang waris sahaja yang tidak bersetuju, wasiat itu tidak mengikat terhadap bahagian waris yang tidak bersetuju. Harta hendaklah dibahagikan mengikut faraid, kemudian sesiapa yang redha boleh menghadiahkan bahagiannya kepada abang tersebut.
Kesimpulannya:
1. Wang pencen yang telah menjadi milik ibu dan masih berbaki ketika ibu meninggal dunia menjadi harta pusaka ibu dan dibahagikan mengikut faraid.
2. Pesanan ibu supaya semuanya diberikan kepada seorang anak tidak mengatasi hukum faraid jika anak tersebut ialah waris, melainkan semua waris yang berhak bersetuju selepas kematian ibu.
Sekian, terima kasih.