BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, soalan saya begini.

1. Apakah hukum perkahwinan lavender di sisi syarak? 

2. Apakah status perkahwinan lavender sekiranya pasangan yang dikahwini itu tidak mempunyai pengetahuan berkenaan orientasi sesksual sebenar pasangannya. 

3. Apakah status perkahwinan lavender sekiranya pasangan yang dikahwini itu tahu berkenaan orientasi seksual pasangannya tetapi masih bersetuju untuk berkahwin atas kepentingan harta dan reputasi sosial?

Saya perlu membuat kajian berkenaan topik ini, diharapkan jabatan mufti dapat membantu. terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Perkahwinan dalam Islam adalah sebuah ikatan yang suci di sisi syarak antara lelaki dan wanita bertujuan menjaga kehormatan diri, mendapatkan ketenangan jiwa serta membina keluarga. Ia adalah selari dengan tuntutan al-Quran dan hadis untuk menghalalkan hubungan yang haram sebelumnya. Menurut isu yang dibincangkan, perkahwinan lavender adalah perkahwinan antara seorang lelaki dan wanita yang mana salah seorang atau kedua-duanya mempunyai orientasi seksual homoseksual (gay atau lesbian). Menurut syarak, perkahwinan ini adalah sah kerana memenuhi rukun perkahwinan iaitu ijab dan qabul, wali, saksi, mahar dan lelaki (suami) dan wanita (isteri). Adapun menjawab persoalan yang diajukan:

    1. Hukum perkahwinan secara asasnya adalah sah sekiranya memenuhi rukun. Tetapi mempunyai unsur penipuan atau pengaburan untuk berterusan melakukan hubungan homoseksual maka ia adalah bertentangan dengan syarak.
    2. Status perkahwinannya adalah masih sah tetapi pasangan yang tidak mengetahui tentang keadaan tersebut mempunyai hak untuk menuntut fasakh (pembubaran perkahwinan). Ini kerana terkandung di dalamnya tadlis (penipuan) dan kecacatan yang menghalang tujuan perkahwinan iaitu hak dalam perhubungan.
    3. Jika kedua-dua pasangan mengetahui orientasi seksual homoseks salah seorang atau keduanya tetapi mereka masih bersetuju untuk berkahwin atas dasar kepentingan harta, reputasi sosial atau mempunyai tujuan lain selain yang dibenarkan syarak, maka perkahwinan mereka tetap sah selagi mana memenuhi rukun nikah. Walau bagaimanapun perbuatan ini merupakan dosa besar dan pasangan tersebut wajib bertaubat kerana menggunakan agama untuk menutupi perbuatan yang sebenar. Bahkan, pasangan yang mengetahui dan bersetuju dengan keadaan ini pada awalnya, tergugur haknya untuk menuntut fasakh atas alasan orientasi seksual pasangannya kerana dia telah bersetuju dengan 'aib' tersebut.

Berikut adalah jawapan ringkas kepada persoalan yang diajukan. Diharapkan saudara boleh membuat kajian yang lebih mendalam untuk menyempurnakan kajian yang dijalankan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 93

message user image