BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Saya ingin bertanya. Suami saya enggan mempunyai anak kedua dengan alasan anak pertama kami masih kecil (8bulan). Setiap kali bersama dia akan menggunakan kondom untuk mencegah kehamilan. Tetapi saya mahukan anak. Apakah hukumnya saya membocorkan kondom untuk mengandung? Untuk pengetahuan kami tidak mempunyai masalah kewangan, suami hanya mahu menjarakkan kandungan. Saya cuba berbincang tapi suami berkeras tidak mahu anak buat masa ini. Dan punca saya tidak mahu tunggu lama adalah kerana usia saya yang semakin lanjut (43 tahun). Saya memohon jasa baik pihak mufti untuk menjelaskan perkara ini. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Menjawab kepada persoalan yang diajukan, terdapat beberapa perbahasan ulama mengenai hukum merancang keluarga:

  1. Tahdid al-Nasl: Menghadkan bilangan anak secara kekal dengan niat tidak mahu menambah zuriat. Ini jelas bertentangan dengan syariat dan haram hukumnya.
  2. Tanzim al-Nasl: Mengatur atau merancang kehamilan buat sementara waktu dengan sebab-sebab yang munasabah seperti faktor kesihatan ibu, kestabilan kewangan dan sebagainya, hukumnya adalah harus dan dibenarkan. Kaedah ini dikenali sebagai ‘azl dan hendaklah dengan persetujuan kedua-dua belah suami dan isteri.

Kaedah ini juga diamalkan oleh sahabat semasa Rasulullah SAW masih hidup. Sebagaimana hadis Nabi SAW, daripada Jabir RA:

كُنَّا نَعْزِلُ وَالْقُرْآنُ يَنْزِلُ

Maksudnya: Sesungguhnya kami pernah ber’azl, sedangkan al-Quran masih diturunkan pada ketika itu.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adapun hukum membocor kondom tanpa pengetahuan suami adalah tidak dibenarkan di dalam Islam kerana suami juga mempunyai hak untuk merancang keluarga. Perbuatan ini boleh dianggap sebagai sebuah perbohongan. Sebagaimana isteri mempunyai hak di dalam perkahwinan, begitu juga suami. Justeru, perbincangan antara kedua belah pihak sangatlah perlu.

Mengenai situasi yang puan nyatakan adalah wajar dirisaukan kerana kehamilan dipengaruhi faktor usia. Oleh yang demikian, perbincangan secara terbuka dengan pasangan adalah lebih baik dan perlu diutamakan. Sekiranya masih tiada jalan penyelesaian, pasangan hendaklah mendapatkan nasihat daripada pihak ketiga seperti kaunselor perkahwinan, ibu bapa atau ulama untuk mencapai kata sepakat.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 62

message user image