BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya mahu bertanya mengenai status sah solat.

Saya selalu tertanya-tanya tentang status sah solat saya. Suatu hari, saya mengambil air wuduk.

Setelah mengambil air wuduk, saya solat, semasa saya sedang solat, air wuduk daripada kawasan kepala / rambut mengalir bawah ke muka saya lalu memasuki ke dalam mulut saya.

Jadi air wuduk tersebut akhirnya bercampur dengan air liur saya. Saya terpaksa telan air liur yang bercampur dengan air wuduk supaya ia tidak mengganggu saya semasa tengah solat.

Persoalannya, adakah solat saya sah ataupun tidak?

Terima kasih daun keladi.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan situasi yang dijelaskan, hukum menelan baki air wuduk semasa solat adalah sama hukumnya dengan makan dan minum semasa solat. Hukum makan atau minum secara sengaja semasa solat adalah terbatal walaupun kuantiti yang sangat sedikit. Imam al-Bajuri menjelaskan:

أو قليلا، أي ولو من الريق المختلط بغيره

Maksudnya: "Ataupun sedikit iaitu walaupun daripada air liur yang bercampur dengan selainnya jika ditelan maka membatalkan solat".

Sebagai satu solusi bagi mengelakkan tertelan bekas air wuduk, apabila terasa mengalir sahaja bekas air wuduk ketika solat, boleh sahaja mengelap dengan menggunakan telapak tangan bekas air wuduk tersebut ketika ia mengalir. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 29

message user image