BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamulaikum wbt.

Soalan berkaitan puasa

Boleh sy dapatkan status puasa bagi orang yang menelan air liur dalam keadaan berikut:

1. Air liur berada pada hujung kiri bibir semasa solat, sy tidak menelannya, dan memastikan ia tidak masuk ke dalam mulut. Usai solat, sy lap bahagian tersebut, namun tidak terasa basah di situ. sy beranggapan bahawa air liur itu telah kering, kemudian sy telan air liur. Selepas itu, timbul di fikiran bahawa mungkin air liur yang di luar itu sebenarnya telah masuk semula ke dalam mulut, dan sy telah menelannya.

2. Menelan air liur yang masih mempunyai rasa sesuatu yang asing (seperti sugi, kopi, ubat gigi, dll) walaupun setelah kumuran dan pembersihan gigi yang bersungguh sungguh.

3. Orang yang lazim gusinya berdarah, tetap menelan air liur jika terasa seakan-akan ada darah, dan hanya membuang air liur apabila rasa darah itu jelas. (sy kerap ke pili air untuk berkumur kerana kadang2 rasanya jelas, dan kadang2 samar2).

4. Sy ada terbaca respon pihak jabatan mufti pada soalan lain bahawa boleh untuk orang dalam kes seperti ini (gusi berdarah) membuang air liur tanpa perlu kumuran. Jika sy membuang air liur berdarah itu tanpa kumuran (dan memastikan tidak ada rasa yang berbaki), adakah boleh untuk menelan air liur seperti biasa? 

Soalan berkaitan solat:

5. Jika seseorang yang dalam situasi soalan ke-4 hendak solat, adakah boleh dia terus solat dalam keadaan demikian? atau wajib juga berkumur terlebih dahulu? Soalan ini kerana kekhuatiran akan berlakunya luka semasa dia berkumur, jadi terpaksa berulang alik membersihkan mulut sebelum solat

6. Pada ayat ketujuh fatihah, jika musolli itu batuk selepas ayat "siratalladzina an'amta 'alaihim', adakah dia wajib mengulangi fatihah dari siraata, atau boleh meneruskan bacaan ayat yang berbaki?

7. Sy sering melihat orang yang berjambang tebal, membasuh mukanya terlebih dahulu, kemudian barulah dia membasuh jambangnya. Sahkah perbuatan tersebut? Adakah perbuatan tersebut masih dikira 1 basuhan?

Soalan berkaitan korban

8. Adakah sah menyembelih burung yang sudah dalam keadaan lemah (kerana terkurung dalam besen yang terjemur di tengah panas semasa kursus sembelihan)? Burung itu bernyawa, tapi sudah tidak mampu mengangkat sayapnya, dan ada yang tidak mampu berjalan.

9. Penyembelih A menerima wakil dari pengurusan untuk menyembelih binatang korban peserta. Semasa sembelihan, penyembelih A menghadapi kesukaran, lalu datang pula penyembelih B untuk menyelesaikan sembelihan itu. Adakah niaq korban tertunai? Kerana, yang menerima wakalah sembelih ialah penyembelih A, bukan B.

10. Bolehkah memakan binatang buruan yang masih hidup ketika diserang panah, namun mati akibat berlalunya masa yang lama, kerana sukar mencarinya? 

Soalan berkaitan umrah

11. Apakah tanda mudah untuk menentukan bahu seseorang tidak lagi menghadap kaabah semasa tawaf?

12. Kenalan sy mempunyai makcik yang lanjut usia serta belum berkahwin. Semasa tawaf widak, dia tertolak punggung jemaah lelaki dihadapannya. Dia tidak pasti adakah shahwatnya naik atau pun tidak, tetapi dia yakin timbulnya perasaan yang berlainan sedikit. Adakah situasi ini mempunyai sebarang hukum dan denda?

13. Meletakkan tangan diatas kepala kerana kebiasaan diri atau kerana kepanasan, adakah dianggap menutup kepala yang boleh dikenakan dam?

14. Jika berlaku sentuhan tanpa berlapik yang tidak disengajakan semasa tawaf, disertai syahwat yang datang secara tiba-tiba tanpa qasad, serta sedikit intisyar tanpa ada cairan yang keluar, namun setelah itu dia segera mengabaikan perasaan tersebut, adakah wuduknya masih sah?


message user image

Jawapan  

وعليکم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

 

Merujuk kepada soalan-soalan pihak tuan,

Soalan berkaitan puasa

1. Puasa sah kerana tidak berlaku kemasukan air liur tersebut ke dalam mulut. Keraguan yang datang selepas itu tidak memberi kesan kerana kaedah fiqh ada menyatakan:

"اليقين لا يزول بالشك"

Maksud: "Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan

Malah, tuan sendiri telah berusaha mengelakkannya daripada masuk ke dalam mulut dan tidak terasa lagi basah pada bibir. Maka sangkaan selepas itu hanyalah waswas.

2. Puasa sah, selagi yang ditelan hanyalah air liur sendiri yang sukar untuk dibezakan dengan kesan makanan atau ubat gigi. Sebagai contoh Al-Khatib Al-Syarbini menulis dalam Mughni al-Muhtaj:  

"لَوْ بَقِيَ طَعَامٌ بَيْنَ أَسْنَانِهِ فَجَرَى بِهِ رِيقُهُ لَمْ يُفْطِرْ إِنْ عَجَزَ عَنْ تَمْيِيزِهِ وَمَجِّهِ"

Maksud: “Jika berbaki makanan di antara gigi, dan berlalu padanya air liur yang sukar untuk dibezakan dan diludah, ianya tidak membatalkan puasa

3. Puasa sah. Hukum asal air liur ialah suci. Perasaan "seakan-akan" ada darah tidak menjadikannya darah. Apabila darah benar-benar jelas sehingga air liur berubah dengan darah, hendaklah diludahkan. Jika hanya syak, tidak wajib berulang-alik berkumur.

4. Ya, boleh. Tidak disyaratkan berkumur setiap kali gusi berdarah. Apabila darah telah dibuang dan tidak ada lagi kesan yang diketahui, air liur yang terhasil selepas itu kembali kepada hukum asalnya, iaitu suci dan boleh ditelan.

Soalan berkaitan solat

5. Boleh terus solat. Tidak wajib berkumur sebelum solat semata-mata kerana sebelum itu gusi berdarah. Yang penting ialah tidak diketahui adanya darah yang masih berada dalam mulut. Bahkan jika berkumur berulang kali menyebabkan luka semakin terbuka dan darah semakin banyak, maka itu bercanggah dengan tujuan syarak yang menghendaki kemudahan.

6. Jika batuk berlaku sebentar sahaja dan tidak mengambil masa yang lama, musolli boleh meneruskan bacaan ayat yang berbaki  غَيْرِ الْمَغضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ  tanpa perlu mengulangi bacaan Al-Fatihah atau mengulang dari ayat   صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ   , asalkan kesinambungan bacaan (muwalah) tidak terputus terlalu lama

7. Perbuatan membasuh muka dahulu kemudian baru membasuh jambang yang tebal adalah sah dan dikira sebagai sebahagian daripada satu basuhan yang sempurna dalam wuduk, asalkan keseluruhan proses itu dilakukan dalam sempadan rukun muka. Jambang yang tebal di bawah, jika terkeluar dari asas muka, disunatkan menyela-nyelakannya (khilal)

Soalan berkaitan korban

8. Penyembelihan burung yang lemah itu sah dari segi hukum syarak sekiranya ia masih mempunyai hayat mustaqirrah (tanda-tanda nyawa yang kukuh seperti gerak balas saraf yang aktif, darah memancut keluar semasa disembelih, atau kelonjakan haiwan). Namun, jika ia disahkan sudah hampir mati (mushrifah 'ala al-maut) atau hilang hayat mustaqirrah sebelum disembelih, maka sembelihannya tidak sah

9.  Niat dan ibadah korban tetap sah dan tertunai. Tindakan penyembelih B menyambung atau menyelesaikan penyembelihan tersebut adalah sah dari segi hukum syarak, terutamanya dalam keadaan darurat atau ketika penyembelih A menghadapi kesukaran.

10. Halal jika panah itu melukakan haiwan tersebut, haiwan itu tidak sempat disembelih kerana gagal ditemui dan kematiannya berpunca daripada luka panah itu dan bukan sebab lain. Sebaliknya, jika ketika ditemui ia masih mempunyai hayah mustaqirrah dan masih mampu disembelih tetapi ditinggalkan sehingga mati, maka tidak halal.

Soalan berkaitan umrah

11. Tanda mudah mengetahui bahu tidak lagi menghadap Kaabah ialah:

  1. Apabila dada atau kedua-dua bahu mula menghadap arah perjalanan dan bukan lagi ke arah Kaabah,
  2. atau seseorang berpusing sehingga Kaabah berada di sisi badan, bukan lagi di hadapan dada.

Dalam Mazhab Syafi‘i, wajib menjadikan Kaabah berada di sebelah kiri sepanjang tawaf. Jika berpusing sehingga dada menghadap Kaabah atau membelakanginya, pergerakan tersebut tidak dikira. Al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin menulis:

"وَيَمُرَّ تِلْقَاءَ وَجْهِهِ وَالْبَيْتُ عَلَى يَسَارِهِ"

Maksud: “Hendaklah dia berjalan menghadap ke arah perjalanannya dan Kaabah berada di sebelah kirinya”

12. Jika sekadar timbul sedikit perasaan tetapi tidak yakin berlaku syahwat, maka hukum asal ialah tiada syahwat. Oleh itu, tiada kesan terhadap tawaf, tiada dam dan jika sentuhan itu sendiri tidak membatalkan wuduk menurut keadaan yang diyakini, maka ibadahnya kekal sah kerana hukum tidak dibina atas keraguan.

13. Tidak, larangan ihram ialah memakai sesuatu yang dianggap sebagai penutup kepala secara kebiasaan seperti serban, kopiah, topi dan seumpamanya. Meletakkan tangan sendiri di atas kepala buat sementara bukanlah menutup kepala dalam pengertian tersebut dan tidak dikenakan dam.

14. Menurut Mazhab Syafi’i, wuduk batal apabila berlaku sentuhan kulit antara lelaki dan wanita ajnabiyyah tanpa lapik, tanpa mengira ada syahwat atau tidak. Disebutkan dalam Hasyiyah al-Bujairimi:

"الْأَصَحُّ عِنْدَ الشَّافِعِيِّ أَنَّ لَمَسَ غَيْرِ الْمَحَارِمِ نَاقِضٌ لِلْوُضُوءِ مُطْلَقًا"

Maksud: “Yang paling sahih di sisi Mazhab Syafi’i adalah sentuhan kulit antara lelaki dan perempuan bukan mahram membatalkan wuduk secara mutlak yakni tanpa syarat”

Jika terdapat keraguan sama ada benar-benar berlaku sentuhan kulit atau tidak seperti halnya semasa tawaf yang ramai orang, maka hukum asal ialah wuduk kekal sah kerana keyakinan tidak gugur dengan keraguan. Selain itu, memetik daripada Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-33 yang bersidang pada 28 November 2016 menyatakan amalan-amalan haji dan umrah masa lampau yang baru diragui kesahihannya, tidak memberi apa-apa kesan dari segi hukum jika dia yakin sah ketika melaksanakannya dahulu. Begitu juga  amalan-amalan haji dan umrah lampau yang diyakini tidak sah mengikut Mazhab Syafi’i maka boleh bertaqlid kepada mazhab lain untuk mengesahkannya jika ada.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 44

message user image